Subsidi petrol bersasar, kerajaan guna data JPJ tentukan kelayakan


Menurut Salahuddin, buat masa ini kerajaan masih lagi meneruskan polisi yang ada dan tidak menarik balik subsidi ataupun menaikkan sebarang tarif. – Gambar Facebook Salahuddin Ayub, 24 Disember, 2022.

PANGKALAN data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara elemen akan diguna pakai kerajaan bagi mengenal pasti penerima subsidi bersasar membabitkan minyak petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub berkata pihaknya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan kementerian berkaitan.

“Jadi dari segi data itu (subsidi bersasar) sudah hampir lengkap untuk kita berikan data itu kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tentang bagaimana kita boleh buat subsidi bersasar ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Fasa 1, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata pangkalan data JPJ boleh digunakan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON95 memandangkan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis kuasa kuda (cc) kenderaan dimiliki.

Beliau berkata kertas cadangan mengenai subsidi bersasar sebelum ini sudah dibentangkan ketika mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang dipengerusikan perdana menteri pada Selasa lepas.

“Perdana menteri sudah memberikan arahan supaya perkara itu (mekanisme subsidi bersasar) diteliti. Tetapi buat masa ini kerajaan masih lagi meneruskan polisi yang ada iaitu kita tidak menarik balik (subsidi) ataupun tidak menaikkan sebarang tarif yang kita rasa boleh membebankan rakyat.

“Jadi polisi itu masih diteruskan sehinggalah Kabinet memutuskan mengenai perkara itu (subsidi bersasar) kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rancangan kerajaan terutama KPDN yang juga sekretariat kepada NACCOL berkait mekanisme subsidi bersasar dan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pulai itu berkata pihaknya juga mengenal pasti ada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) membeli minyak masak bersubsidi yang segelintir besarnya daripada golongan B40.

“Jadi kita kompromi mengenai itu dan satu mekanisme sudah saya nyatakan kepada perdana menteri supaya kita cari jalan bagaimana IKS yang dalam kategori B40 juga boleh menggunakan minyak (masak) bersubsidi ini,” katanya.

Selain itu, Salahuddin turut mengingatkan agar penguat kuasa KPDN bersifat mesra rakyat terhadap kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan peniaga dan penjaja kecil sekali gus memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka.

“Ini penting bagi kita menyahut seruan perdana menteri supaya penjaja-penjaja kecil ini diberikan perhatian. Mereka perlu bangun daripada krisis ekonomi dan pasca-Covid-19…mereka perlu diberikan perhatian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan tindakan penyalahgunaan dan penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat. – Bernama, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen