Subsidi penternak ayam, pengeluar telur dikaji pada Jun, kata menteri


Setakat ini sebanyak RM1.8 bilion subsidi telah diperuntukkan kepada penternak dan pengeluar terlibat dan ia dijangka meningkat melebihi RM2 bilion sehingga Jun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2023.

KERAJAAN akan mengkaji semula keperluan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur pada Jun ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata setakat ini sebanyak RM1.8 bilion subsidi telah diperuntukkan kepada penternak dan pengeluar terlibat dan ia dijangka meningkat melebihi RM2 bilion sehingga Jun ini.

“Menjelang Jun kita akan buatkan kajian untuk teruskan subsidi atau kaedah lain bagi memastikan harga bahan mentah tersebut kembali stabil.  

“Itu yang sedang kita kaji, kalau sudah stabil apa perlu lagi subsidi dan berbelanja wang (subsidi) itu boleh digunakan di tempat-tempat lain yang lebih memerlukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang di Bagan Datuk, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) supaya melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap telur yang diimport dari India demi memastikan tahap kualitinya mencapai standard ditetapkan.

“JPV akan melakukan pemeriksaan segera dan sebarang maklum balas berkenaan perkara itu akan dilaporkan kepada kementerian,” katanya.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dilapor menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) supaya sentiasa memastikan telur yang diimport dari India diperiksa dengan sewajarnya bagi mengelak penjualan telur tidak berkualiti dan telah tamat tempoh.

Terdahulu, Mohamad melakukan lawatan di QL Foods dan Leng Wah Fishery bagi melihat perkembangan operasi penghasilan produk makanan sumber laut. – Bernama, 18 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen