Kentut dan berak lembu


Hishamuddin Rais

JANGAN ketawa kalau saya nyatakan di sini yang kentut, sendawa dan berak lembu adalah salah satu penyebab pemanasan global. 

Bunyinya lawak tapi ini adalah fakta.

Saya faham kenapa apa yang saya tulis ini dibaca lawak. Pertama, jika memandang di keliling kampung kita nampak tujuh ekor lembu milik Lebai Ramli merayau dalam sawah. Atau lima ekor lembu Gurbak Singh yang susunya dijual untuk orang sekampung.

Apakah kentut lembu-lembu ini mengakibatkan dunia semakin panas, cuaca berubah dan mengakibat Taman Sri Muda dilanda banjir.

Jawabnya ada betul, ada salah.

Lembu dalam kampung di negara kita ini amat kecil jumlahnya. Ia tidak ramai berbanding dengan ladang lembu daging di Argentina.

Di Argentina ada ratusan ribu lembu meragut di satu padang rumput. 

Atau, ada ribuan lembu susu di Australia, New Zealand atau di Belanda atau di United Kingdom. 

Lembu ini bukan sekandang. Ini bukan lima ekor lembu susu Gurbak Singh. Ini kilang susu untuk pasaran dunia.

Lembu, seperti kambing dan zirafah, mengunyah daun dan rumput. Proses penghadaman rumput yang dikunyah oleh lembu ini melahirkan gas karbon dan metana.

Senang cakap: bila lembu sendawa, terberak atau terkentut gas metana terlepas masuk ke udara.

Fakta kajian menunjukkan industri lembu – kentut dan berak lembu – menyumbang 14.5% jumlah gas yang mewujudkan kepanasan rumah hijau.

Gas ini lebih 25% lebih kuat dalam hal pemanasan dari karbon dioksida.

Satu lagi penyumbang kepada gas pemanasan global ialah penanaman padi di Asia Tenggara.

Ini termasuk juga Jelapang Padi Malaysia di Kedah. Industri padi menyumbang 10% pengeluaran metana dunia.

Pembakaran jerami dan sekam padi mengeluarkan gas. Cara pembajaan yang menggunakan baja nitrogen mengeluarkan gas nitrous oksida yang masuk ke ruang udara.

Hari ini 50 bilion tan karbon masuk ke atmosfera semenjak 50 tahun ini.

Secara natural karbon muncul dari tumbuhan. Proses fotosintesis di mana cahaya matahari, karbon dan air mewujudkan oksigen untuk menjadi bahan makan kepada tumbuhan. Bahan-bahan dari tumbuhan ini menjadi makanan untuk umat manusia.

Dari mana tiba-tiba datang 50 bilion tan karbon hingga merosakkan imbangan karbon di dunia ini? Bagaimana karbon bertambah?

Hutan ditebang untuk pertanian. Ini pemusnahan  gudang oksigen. Proses fotosintesis tidak lagi seimbang apabila hutan berkurangan.

Matahari membakar permukaan bumi yang kini tanpa pokok dan hutan. Laut jadi panas dan berwap. Air laut yang panas mencairkan salji.

Dua ratus tahun dahulu sebelum Revolusi Industri bermula, salji di Kutub Utara, Selatan dan di pegunungan berperanan menerima pancaran sinar dan menyerap cahaya matahari. Proses ini berjalan dengan baik dan seimbang.

Satu ketika dulu, permafrost – lapisan air beku yang nipis – wujud di Siberia, di Greenland, di Canada dan di Alaska. Kini telah cair dan lupus.

Ini suasana Goldilocks. Ini ketika iklim dunia dan atmosfera tidak diganggu gugat.

Ganggu gugat ini pertama datang apabila kereta sampai. Asap kereta muncul hasil dari pembakaran minyak. Pembakaran tenaga fosil – ini memanaskan lagi atmosfera.

Asap kereta naik ke atmosfera. Bayangkan berapa bilion kereta bergerak saban hari. Bayangkan berapa tan gas naik ke udara setiap hari tanpa henti-henti.

Manakala di udara, pembakaran minyak kapal terbang menambah lagi jumlah karbon.  

Untuk menjana kuasa elektrik arang batu dibakar. Arang batu adalah tenaga fosil. Minyak petrol ialah tenaga fosil yang cair manakala arang batu adalah tenaga fosil yang beku. 

Pembakaran tenaga fosil ini menyumbang 2/3 daripada 50 bilion tan gas karbon.   

Saya perlu mengulang menulis perkara yang sama beberapa kali. Saya terus berleter menyatakan dampak atau kesan perubahan iklim ini kepada pembaca.

Air laut naik, pulau tenggelam, panas terik boleh membakar hutan, malapetaka banjir datang melanda. Ini semua hasil pemanasan global.

Lihat pengalaman banjir tahun lalu di Pakistan. Air belum surut dan belum kering tiba-tiba Pakistan diserang penyakit kolera.

Ribuan mati kerana tenggelam dan puluhan mati kerana air minuman kotor.

Kita sendiri menyaksikan Taman Sri Muda tenggelam. Kita melihat mayat diangkat keluar dari tanah runtuh di Batang Kali. Semua ini adalah kesan perubahan iklim yang wajib dijadikan pengajaran.

Daripada kajian para saintis, karbon yang diwujudkan sekarang hasil tindak tanduk manusia adalah 250 kali ganda lebih cepat berbanding zaman air batu 25,000 tahun dahulu.

Selain banjir dan runtuh rantah – ia juga  akan menimbulkan masalah kekurangan makanan. Sawah padi atau ladang gandum tenggelam bila banjir melanda.

Bila kemarau sampai, panen gagal. Makanan tidak cukup. Bila makanan tidak cukup masalah politik dan sosial muncul. Kerajaan jatuh. Masyarakat kacau bilau. 

Banjir dan kemarau menimbulkan keadaan sosiopolitik yang menakutkan.

Somalia, Sudan dan Ethiopia adalah contoh terbaik di mana pemanasan global dan perubahan iklim menimbulkan masalah sosial dan politik.

Di wilayah-wilayah dalam negara Afrika ini  kumpulan ekstremis agama lahir. Kelaparan dan kebuluran menjadi tangguk yang baik untuk merekrut tenaga untuk melakukan keganasan.

Saya telah menulis penyebab pemanasan global. Saya telah menulis kesan perubahan iklim terhadap kita semua. Saya menulis yang kita dalam keadaan amat bahaya.

Dalam masa tiga tahun ini jika kita tidak melakukan atau dapat menahan kenaikan 2°C suhu bumi ini maka kita akan menuju kiamat.

Ini tajuk berita daripada laporan Associated Press pada 16 Februari 2023: “Rising seas are a ‘death sentence’ for some nations and will shake ‘mega-cities on every continent,’ UN chief says”.

“Our world is hurtling past the 1.5-degree warming limit that a livable future requires,” Guterres said. The consequences are unthinkable, Guterres said.

Ini isi berita: Dunia kita semakin melepasi had pemanasan 1.5 darjah yang diperlukan oleh masa depan yang membolehkan manusia hidup dalam dunia, dan dengan dasar semasa, semakin meningkat ke arah 2.8 darjah – hukuman mati bagi negara yang terdedah. Akibatnya tidak dapat difikirkan, kata Guterres

Ini amaran Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres. Ini bukan kali pertama Guterres berkata perkara yang sama.

Dalam Persidangan COP26 di Sham el-Sheikh di Mesir pada 6-18 November 2022 yang lalu ketua PBB ini memberi amaran yang sama

Sama seperti saya setiausaha PBB ini terus mengulang ingatan dan memberi amaran agar kita semua – umat manusia – sedar dari sekarang kita wajib bertindak dan melakukan sesuatu.

Kata-kata bijak berfalsafah dari Chief Seattle (1766-1866) suku bangsa Suquamish Dayak Amerika wajib menjadi pegangan kita.

Chief Seattle berkata: Kita bukan mewarisi bumi ini – kita meminjam daripada anak cucu kita.

Hishamuddin Rais ingin menambah: Kita hanya ada satu bumi yang kita pinjam, justeru jagalah baik-baik.

Saya menulis dan menggambarkan perubahan iklim ini yang akan membawa dunia ke alam yang maha gelap.

Banjir dan kemarau di sana sini. Binatang ternakan mati, ayam lembu itik mati tak cukup air.

Tumbuhan, kayu kayan, ulat serangga makin pupus. Kebakaran dan keruntuhan di sana sini. Penyakit berjangkit merebak luas kerana air kotor atau kerana tidak berair.

Kota, pekan, kampung dan pulau mula tenggelam. Projek seperti menambak pantai  di Pulau Pinang dan projek Forest City di Johor akan tenggelam. 

Apakah tidak ada jalan keluar?

Untuk saya, pasti ada jalan keluar kerana kita manusia. Manusia ada fikiran. Sebelum berfikir untuk bertindak perlu ada pencerahan. Perlu faham apa yang sedang dihadapi.

Apa yang sedang saya lakukan ini ialah memberi pencerahan. Memberi kesedaran kepada seramai yang mungkin. Tujuannya untuk meminta  pembaca sedar agar mengambil tindakan.

Awalnya pada hemat saya secara individu – secara bersendirian – kita boleh bertindak.

Pertama: ganti bulp lampu biasa rumah kita kepada lampu kalimantang yang canggih. Ini menyelamat 150 pound karbon setahun.

Kedua: kurangkan berkereta. Mana boleh naik bas, kita naik bas atau LRT. Budayakan penggunaan pengangkutan awam. Pengangkutan awam bas, LRT bukan hanya untuk Bangla.

Jika boleh berbasikal, kita berbasikal. Mengurang karbon dan menambah sihat.

Ketiga: selalu pastikan tayar kereta kita dalam keadaan baik. Tayar yang baik mengurangkan pembakaran petrol.

Keempat: Kurangkan mandi air panas. Mandi air sejuk. Kurang pembakaran gas.

Kelima: Kurangkan mengguna beg plastik. Ke pasar bawa beg sendiri. Bawa mangkuk tingkat sendiri. Bawa uncang sendiri.

Keenam: Nampak tanah lapang tanam pokok. Bila melintas kawasan hutan taburkan benih durian, rambutan atau benih apa saja di tepi jalan raya ketika memandu pulang ke kampung dan agar pokok-pokok tumbuh.

Apa yang saya tulis ini mungkin dilihat romantik. Membaling biji ke hutan akan dianggap kurang akal.

Kalau Hishamuddin Rais menyembah pokok besar di tepi jalan seorang diri saya akan dianggap gila. Tapi kalau ribuan dan jutaan orang berbuat sama maka ia dipanggil agama.

Apakah ini sahaja akan dapat menyelesaikan masalah perubahan iklim. Kalau ini sahaja semua boleh kau tim – sap sap sui. Enteng dan mudah.

Sabar dulu ini hanya permulaan. Ini kuliah 101. Ada lagi tahap yang lebih tinggi. Tahap kolektif kita sesama kita. Sila tunggu. Amin. – 17 Februari 2023. 
 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen