TNB Renewables nilai pilihan lain untuk penjanaan kuasa solar, kata pengarah urusan


TNB Research menjalankan beberapa penilaian ke atas permukaan air untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk panel solar terapung. – Gambar AFP, 15 Februari, 2023.

ANAK syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) kini sedang menilai secara serius kaedah-kaedah lain untuk penjanaan solar seperti panel solar agrisolar dan solar terapung.

Pengarah Urusan TRe Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata penyedia penyelesaian dalaman TNB, TNB Research Sdn Bhd menjalankan beberapa penilaian ke atas permukaan air untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk panel solar terapung.

Beliau berkata syarikat itu sedang berusaha untuk mengoptimumkan sebahagian kecil permukaan air untuk menjana bekalan elektrik.

“Sebagai contoh, sekiranya sesebuah tasik itu berkeluasan 100 hektar, kami tidak akan membuat pembangunan yang akan menutup seluruh permukaan air kerana ia akan mengakibatkan kesan sampingan kepada ekosistem di bawah.

“Berdasarkan kajian yang kami laksanakan, sebagai permulaan, kami melihat kepada penggunaan maksimum antara 10 hingga 15 peratus dari segi keluasan tasik tersebut dan pada masa yang sama kami pantau sistem ekologi untuk memastikan tiada impak negatif yang terhasil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke projek Solar Berskala Besar (LSS) milik TNB di Bukit Selambau, Kedah pada Selasa.

Pada masa ini, TNB mempunyai tiga ladang LSS yang terletak di Sepang dan Bukit Selambau dengan satu lagi LSS dijangka siap di Bukit Selambau menjelang akhir tahun.

Syarikat utiliti itu turut memiliki tiga aset biogas secara usaha sama dengan Sime Darby Bhd.

“Kami memantau dan berhasrat membina lebih banyak lagi aset solar dan angin. Cuma sumber angin di Malaysia, secara relatifnya agak kurang. Secara teorinya, semakin dekat anda dengan khatulistiwa, semakin kurang pergerakan angin kerana suhu yang stabil,” jelas Mohd Yusrizal.

Beliau menambah penggunaan permukaan air akan menjadi pilihan yang lebih baik kerana kesan penyejukannya yang akan meningkatkan prestasi.

“Kami akan memulakan ini tidak lama lagi. Sebenarnya dari segi pembangunan sedia ada, kami sudah ada satu atau dua pembangunan panel solar terapung tetapi kami masih menunggu masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata kos bagi pembangunan atas permukaan air secara puratanya tinggi berbanding pembangunan konvensional di atas tanah.

“Kami kini sedang menilai pilihan untuk memastikan yang kami dapat mengoptimumkan permukaan air,” katanya.

Selain itu, Mohd Yusrizal berkata agrisolar sekurang-kurangnya dapat menangani kebimbangan orang ramai mengenai persaingan untuk mendapatkan tanah bagi kegunaan pertanian dan penjanaan kuasa.

Agrisolar ialah gabungan antara konsep pertanian mampan dan fotovoltaik solar.

“Kami cuba mengoptimumkan pilihan yang kami ada. Yang pasti dan jelasnya, kami tidak akan menganggu hutan primer, kami akan melihat lokasi sekunder seperti Bukit Selambau yang ditanam dengan kelapa sawit dan pemilik tidak merancang untuk meneruskannya,” tambah beliau. – Bernama, 15 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen