Jerung korupsi besar, bilis sogok habuan kecil 


Faisal Tehrani

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam menyatakan tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kini adalah terhadap ‘jerung’ berbanding banyak masa digunakan untuk menangkap ‘ikan bilis’ sebelumnya ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui (GRS) di Dewan Rakyat semalam dilaporkan berkata tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini adalah terhadap ‘jerung’ berbanding banyak masa digunakan untuk menangkap ‘ikan bilis’ sebelumnya ini.

Beliau bahkan memberi bayangan akan ada pemimpin semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang akan disiasat oleh SPRM. Kita mengalu-alukan pengumuman ini. Hal ini bahkan sangat menarik untuk dicerakinkan.

Saya percaya, dalam hal najis rasuah, nanah korupsi dan babinya penyelewengan, kecil atau besar ia tetaplah nanah rasuah, najis korupsi dan penyelewengan yang tiada tara babinya. Bukan sangat untuk menghina babi yang banyak juga jasanya, tetapi untuk menggambarkan betapa haramnya ia untuk penganut beragama Islam.

Ada sebuah novel langka karya pengarang besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang kurang diketahui orang. Judulnya ‘Korupsi’. Novel ini ditulis pada tahun 1953 ketika Pram berada di Belanda.

Korupsi dalam masyarakat seperti dilukiskan oleh Pram adalah satu mutasi sosial. Ia beranak-pinak. Ia berbenih dari kecil kemudian mengepedemik sehingga melata, dan akhirnya menjadi norma biasa yang tidak lagi dipungkiri.

Inilah yang dialami negara ini. Ia bermula dengan bilis, dan memanjat naik sehingga jerung. Atau mungkin ia berkocak dalam kalangan jerung, menggelupur turun ke bilis yang kecil di bawah buritan. Kedua-duanya tidak harus dilindungi.

Jerung membaham dan mengganas dengan cara mengoyak-ngoyak dengan giginya yang amat tajam sehingga jasad masyarakat tersobek-sobek meninggalkan kita menjadi janda. Manakala bilis kecil mengerumun jasad yang sudah membangkai lembut mencarik dan menggerigit tanpa sedar santak kita masyarakat menjadi papa kedana.

Dalam novel karya Pram tersebut, watak utamanya – Bakir – diperkenalkan menerusi sudut pandang pertama, adalah seorang staf kerajaan yang bilis-bilis sahaja. Beliau sudah bertugas hampir dua puluh tahun, dan seperti nasib semua penjawat awam yang makan gaji, dia tidak akan kaya, dan tidak mengimpikan untuk menjadi kaya. 

Kini Bakir setelah dua dekad, tersepit teruk lantaran himpitan masalah ekonomi negara. Anak-anaknya semakin mendewasa dan kerana rajin belajar, beroleh keputusan yang baik-baik belaka. Keputusan itu menagih untuk diladeni dengan cara pengajian tinggi yang cocok. Ini menekan Bakir yang tidak punya pendapatan tambahan. Korupsi di keliling Bakir memang membiasa. Cuma Bakir, polos belum tahu bagaimana cara membuatnya. Atau sebelum ini tiada keperluan.

Bakir sudah cuba mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Dia menyewakan ruang hadapan rumahnya kepada peniaga runcit berbangsa Cina (yang entah mengapa O Pram mesti juga Cina!) dan melintah, ruang itu membengkak dan meraung menuntut diperbesarkan.

Bakir sang protagonis kian tersedut dalam pusaran kepayahan.

Melihat kepada penjawat awam di sekeliling dia menelah mereka yang hidup kenyang itu kelihatannya pandai mencari peluang, dan memanfaatkan kesempatan. Perlahan-lahan pertimbangan Bakir itu berubah, sebagai bilis dia merasa iri dengan kenyamanan hidup sang jerung. Maka dia mula memasang prinsip hidup baru yang ditulis oleh Pram sebagai: 

“Sesungguhnya hidup baik menjadi hak tiap orang. Usaha untuk bisa demikian bukanlah kejahatan, tetapi kewajiban.”

Alih-alih berbuat jahat itu sudah dipalsukan sebagai satu yang hak, bukan lagi batil.

Maka Bakir mengajar diri sendiri konon, dengan berbuat korupsi dia juga boleh berbuat kebaikan. Ini kerana kalau ada duit lebih maka boleh juga disedekahkan kepada orang. Begitu!

Sebagai bilis dia melihat tingkah laku jerung dengan perasaan menggebu-gebu. Tulis Pram dalam novel itu begini: “Dan karena pimpinan yang baik itu sesungguhnya sudah lama aku harus menjadi kepala jawatan, barangkali juga menteri. Tak mengerti aku mengapa keadaanku tinggal bobrok sedang orang yang dahulu hanya klerk-ku belaka ini sudah menjadi anggota parlemen.”

Betul sungguh. Ada ramai ahli parlimen yang bodoh hari ini. Ada yang berkhabar angin memalsukan kelayakan pengajian, ada pula yang memang nampaknya jahil serba-serbi graf ekonomi tetapi tetap dilantik ke jawatan berimbuhan tinggi, ada yang memang dayus dan tidak ada sebab berada di dewan yang mulia itu. Maka perasaan Bakir dalam novel ‘Korupsi’ itu ternyata valid.

Perlahan-lahan Bakir si bilis belajar menjadi jerung dengan melihat selok-belok menjerung. Dia makin pandai dan makin licik. Hanyut dan hanyut sehingga meninggalkan keluarganya, menyertai kelab T20 yang sedang mabuk kuasa dan akhirnya seperti bilis yang berfantasi menjadi jerung; Bakir tertangkap dan dipenjarakan.

Ada jerung tentu terlepas kerana samudera ada tujuh di permukaan bumi ini dan ia boleh berenang melampau gulungan kertas pandora. Jerung boleh diam pada ketikanya, dan berenang bebas di detik lain. Semuanya bergantung pada pusar dan ombak. Atau mungkin busa dan buih yang terbebas di celah karang.

Jika jerung itu iblis yang terus menjahanam berbuat dosa, Pramoedya menghujahkan dalam ‘Korupsi’, bilis itu pula adalah makhluk perosak yang mencuri kecil-kecilan dan membawa keluar segala pusaka dan khazanah negara sehingga ia bertimbunan menggunung. Tatkala dihitung audit ternyata yang dicuri itu meski bilis-bilis yang konon harus dibelas-belaskan terserlah sangat banyak dan merugikan.

Pramoedya menamakan penjenayah seperti Bakir dalam karyanya itu sebagai ‘tikus negara’. Tikus kata Pram adalah pengkhianat yang bobrok.

Apa yang boleh kita lakukan, ya? Jerung dan bilis sama duduknya. Saya kira, jangan dibezakan. Saya bukan Pramoedya yang ada sosok untuk mengingatkan. Pun, untuk sosok rajin membaca seperti PMX, jika Anwar Ibrahim serius memadanikan Malaysia tercinta; yang harus dilakukan ialah iltizam politik yang nyata iaitu mereformasikan sistem dan dengan segera memberdayakan SPRM supaya ia lebih cukup prasarana.

Kalau bilis, biar SPRM cukup alatan untuk menangguk dan memukat. Jika jerung mohon SPRM dilengkapkan bot boleh belayar di laut dalam dengan teknologi tercanggih seperti manjanik berdigital untuk menembak jerung yang berpandora dari kejauhan.

Pokok dan pangkal, jerung dan bilis harus dilayan sama rata. Soalnya, bolehkah kerajaan perpaduan membuat begitu? – 15 Februari, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen