Pengusaha perniagaan mahu moratorium elektrik susulan lonjakan mendadak dalam tarif baharu


Ravin Palanisamy

Persatuan peniaga mahu moratorium bayaran elektrik baharu selepas bil elektrik bulanan mereka melonjak hampir 30 peratus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari 2023.

PERSATUAN peniaga mahu moratorium bayaran elektrik baharu selepas bil elektrik bulanan mereka melonjak hampir 30 peratus.

Kadar bayaran baharu sebanyak 20 sen setiap kilowatt jam (kWj) bagi pengguna bukan domestik diperkenalkan awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan tujuh persatuan peniaga termasuk hotel, pusat membeli-belah, hiburan, taman tema mahu moratorium itu kekal sehingga akhir tahun ini.

“Memandangkan elektrik adalah utiliti penting untuk perniagaan beroperasi, oleh itu ia juga merupakan sebahagian besar daripada kos operasinya.

“Baru-baru ini hotel, taman tema, hiburan dan industri berkaitan termasuk pusat membeli-belah dan peruncit di seluruh negara terkejut ketika menerima bil elektrik Januari kerana mereka secara purata berdepan peningkatan minimum %hingga 30% dalam bil bulanan mereka berbanding tahun sebelumnya dengan penggunaan yang sama,” kata persatuan itu.

Dengan kebanyakan industri baru mula pulih berikutan pandemik Covid-19 yang terjejas secara global, perniagaan ini antara yang paling teruk terjejas menggesa kerajaan memberi mereka moratorium untuk bil elektrik sehingga akhir tahun.

Mereka mendakwa tarif baru bersama dengan semakan gaji minimum tidak relavan.

“Kami juga tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya tempoh pemulihan kerana masih terjejas oleh kesan pandemik yang berlarutan seperti kekurangan tenaga kerja dan kewaspadaan umum yang semakin meningkat dalam kalangan orang ramai untuk membuat perjalanan.

“Selain itu undang-undang baru-baru ini seperti semakan gaji minimum dan pindaan kepada Akta Pekerjaan membantutkan lagi proses pemulihan industri kita. Kini, kita juga perlu berdepan dengan lonjakan bil elektrik yang mendadak dan tidak adil.

“Oleh itu, kami menggesa Kerajaan menyediakan moratorium tarif elektrik baharu kepada semua pengguna komersil sehingga akhir 2023 bagi memberi masa kepada kami untuk pulih,” kata mereka.

Persatuan itu berkata tekanan yang berterusan dan semakin meningkat terhadap peniaga ketika Malaysia meningkatkan usaha membaik pulih pelancongan memberi kesan kepada mereka kerana tidak dapat beroperasi dengan cekap dan berkesan.

Mereka berharap untuk mendengar maklum balas yang memberangsangkan tidak lama lagi.

Mereka juga mengalu-alukan sesi perbincangan terbuka dengan kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk penambahbaikan keseluruhan industri di Malaysia.

Kumpulan yang menandatangani kenyataan itu ialah Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Persatuan Hotel, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia, Persatuan Taman Tema & Tarikan Keluarga Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia dan Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk mengenakan bayaran voltan sederhana, voltan tinggi dan syarikat multinasional dengan bayaran elektrik sebanyak 20 sen setiap kWj bagi tempoh kawal selia antara 1 Januari 2023 dan 30 Jun 2023.

Ini merupakan lonjakan besar daripada surcaj 3.7 sen setiap kWj yang dikenakan ke atas pengguna bukan domestik pada 2022. – 8 Februari 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen