Diskaun 10% untuk penggunaan elektrik antara 601-900kWj


TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyiarkan senarai soalan dan jawapan berkaitan dengan diskaun terbaharu yang ditawarkan dalam bilnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Senarai itu dikeluarkan selepas kerajaan mengumumkan pakej tambahan di bawah Bantuan Prihatian Elektrik berjumlah RM942 juta selepas rakyat merungut bil elekrik melambung dalam tempoh PKP.

Antara soalan yang disediakan termasuk diskaun yang akan dinikmati pengguna dan tempoh yang boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan bil.

Di bawah inisiatif itu, pengguna akan menikmati diskaun bulanan sebanyak 10% bagi penggunaan elektrik antara 601 hingga 900 kilowat sejam (kWj) bagi tempoh enam bulan.

Ini bermakna pengguna layak menerima diskaun tambahan sebanyak 8% dalam Diskaun Prihatin 2% yang diumumkan sebelum ini jika kadar penggunaan mengikut kadar yang ditetapkan.

Diskaun Prihatin diberikan kepada pengguna bermula April 2020 hingga September 2020.

Sebagai tambahan dalam Diskaun Prihatin, pengguna juga diberikan bantuan one-off dalam bentuk Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang akan dimasukkan dalam bil akaun pada April, Mei dan Jun.

BPE merupakan bantuan tambahan diberikan kerajaan dan TNB bagi meringankan beban pengguna yang tertekan dengan kenaikan bil elektrik.

Semalam TNB mengumumkan diskaun tambahan kepada lebih 7 juta penggunanya, susulan rungutan bil melambung tinggi selepas PKP berkuatkuasa sejak pertengahan Mac lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata diskaun itu akan menyebabkan lebih separuh atau 4 juta pengguna menikmati bekalan elektrik percuma bagi April, Mei, dan Jun.

“Jumlah pengguna elektrik domestik yang akan mendapat manfaat seramai 7.66 juta.

“Seramai empat juta daripada jumlah itu dengan bayaran bil elektrik RM77 sebulan atau penggunaan elektrik dibawah 300 kWj mendapat bekalan elektrik percuma bagi April, Mei dan Jun 2020.

“Pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 300 kWj akan dapat potongan RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun 2020,” kata beliau dalam sidang media.
 
Tiada permohonan diperlukan untuk mendapat bantuan itu kerana ia diberikan secara automatik dalam bil bermula Julai.

Bagi pengguna komersial, industri dan agrikultur yang tidak layak untuk BPE, mereka masih boleh menikmati Diskaun Prihatin bagi tempoh enam bulan.

BPE diberikan kepada semua pengguna domestik termasuk mereka yang dikenakan caj minimum RM3.

Kira-kira 7.66 juta pengguna akan mendapat manfaat daripada bantuan terbaharu itu.  – 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen