TNB umum diskaun tambahan kepada pengguna


Zaim Ibrahim

Tenaga Nasional Berhad mengumumkan diskaun tambahan kepada lebih 7 juta penggunanya, susulan rungutan bil melambung tinggi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa sejak pertengahan Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2020.

TENAGA Nasional Berhad mengumumkan diskaun tambahan kepada lebih 7 juta penggunanya, susulan rungutan bil melambung tinggi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa sejak pertengahan Mac lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata diskaun itu akan menyebabkan lebih separuh atau 4 juta pengguna menikmati bekalan elektrik percuma bagi April, Mei, dan Jun.

“Jumlah pengguna elektrik domestik yang akan mendapat manfaat seramai 7.66 juta.

“Seramai empat juta daripada jumlah itu dengan bayaran bil elektrik RM77 sebulan atau penggunaan elektrik dibawah 300 kWj mendapat bekalan elektrik percuma bagi April, Mei dan Jun 2020.

“Pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 300 kWj akan dapat potongan RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun 2020,” kata beliau dalam sidang media.

Selain itu, diskaun bagi penggunaan elektrik lebih 600 kWj juga dinaikkan dan dilanjutkan sehingga September, katanya.

“Bagi membantu pengguna dalam kategori 601 kilowatt jam hingga 900 kilowatt jam mereka nikmati diskaun tambahan 8% kepada 10% sebulan April hingga September berbanding 2% sejak April 2020,” tambah beliau.

Katanya, lagi TNB akan mengkreditkan bayaran untuk kepada bulan Julai 2020 bagi pengguna yang menjelaskan bil untuk bulan April, katanya.

Bantuan tambahan itu berjumlah RM942 juta katanya yang menambah, TNB juga bersetuju menghentikan pemotongan elektrik sehingga 30 September 2020 .

Rungutan itu timbul apabila pengguna TNB mula mendapat bil bacaan sebenar selepas syarikat utiliti elektrik itu melaksanakan semula pembacaan meter.

Pembacaan meter itu dihentikan sementara sejak PKP berkuatkuasa dan dan pengguna hanya diberikan bil bacaan anggaran untuk tempoh itu.

Rata-rata pengguna merungut, bil bacaan sebenar itu terlalu tinggi setelah dirangkum penggunaan sejak bacaan sebenar terakhir.

Malah ada yang mendakwa ia tidak masuk akal kerana sesetengah premis terlibat ditinggal tidak berpenghuni disebabkan sekatan perjalanan semasa PKP.

Susulan itu, TNB pada awal minggu ini menjelaskan, ia menggunakan kaedah pengiraan bil yang betul untuk tidak membebankan pengguna.

Dalam sidang media sama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Amir Hamzah Azizan menjelaskan syarikat itu tidak mengerahkan kakitangan mereka membaca meter elektrik sepanjang PKP.

Jelasnya tugas itu tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan perlu, yang hanya tertakluk pada kakitangan yang diperlukan untuk memastikan bekalan elektrik tidak terjejas. – 20 Jun, 2020.

“Apa yang kita buat sebagai perkhidmatan yang penting hanyalah perkhidmatan untuk mengekalkan bekalan kepada rakyat. Kita tidak mahu bekalan terganggu.

“Membaca meter dikira sebagai tidak penting. Itu bukan untuk memastikan kestabilan sistem,” katanya.

Jelas beliau operasi pembaca meter tidak dibenarkan sehingga tugas itu dibenarkan dan dianggap selamat oleh kerajaan. – 20 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen