Protes di Peru: semua rakyat Malaysia selamat kata kedutaan


Protes masih berterusan di beberapa bahagian tertentu di Lima terutama di pusat bandar dan bandar lain di sekitar Peru. – Gambar Facebook, 1 Februari, 2023.

KEDUTAAN Malaysia di Peru memaklumkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam protes yang berlaku di beberapa bahagian negara Amerika Selatan itu termasuk di ibu kota Lima.

Kedutaan memaklumkan pihaknya mempunyai pelan kontingensi berdasarkan situasi semasa dan memantau dari pelbagai perspektif sekiranya pengaktifan pelan itu diperlukan.

“Setakat ini, semua rakyat Malaysia di Peru selamat dan Kedutaan Malaysia menghubungi mereka dari semasa ke semasa.

“Rakyat Malaysia di Peru dinasihatkan berwaspada, mengelak kawasan yang terjejas demonstrasi dan protes serta mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan selain memantau media tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Protes terhadap Presiden Peru Dina Boluarte melanda negara Amerika Selatan itu sejak bekas Presiden Pedro Castillo disingkirkan pada Disember dan ditahan selepas beliau cuba membubarkan Kongres secara haram.

Polis Peru memaklumkan pada Selasa pihaknya menyuraikan penunjuk perasaan yang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez berhampiran ibu kota Lima.

Mengulas lanjut, kedutaan memaklumkan protes masih berterusan di beberapa bahagian tertentu di Lima terutama di pusat bandar dan bandar lain di sekitar Peru.

Pada ketika ini, terdapat 30 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan di Peru terdiri daripada golongan profesional termasuk pegawai kedutaan, doktor dan ahli perniagaan.

Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Peru dinasihatkan menghubungi Kedutaan menerusi talian (511) 422 0297, (511) 441 1939 dan (511) 441 0795 (semasa waktu pejabat) atau (+51) 9898 627 35 (selepas waktu pejabat). Mereka juga boleh menghnatar e-mel kepada [email protected]. – Bernama, 1 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen