Protes akan berterusan, kata menteri dalam negeri Peru


Menteri Dalam Negeri Vicente Romero berkata pihaknya sedang bekerja secara intensif dengan kementerian pertahanan untuk tamatkan protes yang telah tercetus selepas presiden ketika itu Pedro Castillo ditangkap. – Gambar AFP, 24 Januari, 2023.

BANTAHAN antikerajaan kerap bertukar ganas sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh di Peru nampaknya akan diteruskan, kata Menteri Dalam Negeri Vicente Romero pada Isnin.

Selepas protes besar-besaran minggu lalu di ibu negara Lima, satu lagi demonstrasi telah dirancang pada Selasa oleh penunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatan presiden Dina Boluarte, walaupun pihak berkuasa menggesa darurat diisytiharkan.

“Protes sosial akan berterusan. Kami bekerja secara intensif dengan kementerian pertahanan untuk selesaikannya,” kata Romero kepada media.

Penunjuk perasaan, kebanyakannya dari wilayah Andes yang miskin, juga menuntut perlembagaan baharu, pilihan raya baharu dan pembubaran kongres.

Kumpulan awam telah mengecam penindasan oleh pasukan keselamatan, namun menteri mempertahankan polis dan memuji “kehebatan” pasukan tersebut.

“Sekarang ini kami sedang mengalami salah satu tahap keganasan tertinggi kebelakangan ini, sejak 1980-an” apabila pihak berkuasa sedang memerangi gerila Shining Path berhaluan kiri, kata Romero.

Beliau sekali lagi menyalahkan kumpulan “tidak berwajah” kerana membiayai protes di mana beliau berkata 540 pegawai polis telah cedera.

Pihak berkuasa telah lama mendakwa pengedar dadah dan pelombong haram “memanipulasi” penunjuk perasaan.

Protes pertama kali tercetus pada 7 Disember selepas presiden ketika itu Pedro Castillo ditangkap dan didakwa melakukan pemberontakan selepas cuba membubarkan kongres dan memerintah melalui dekri.

Penyokongnya sentiasa mengadakan protes dan sekatan jalan raya di seluruh negara, walaupun ada kalanya cuba menyerbu lapangan terbang.

Pada Isnin, masih terdapat lebih 80 jalan terhalang di lapan daripada 25 wilayah Peru.

Lebih 400 pelancong yang terkandas terpaksa dipindahkan dari Machu Picchu pada hujung minggu.

Lapangan terbang di bandar selatan Arequipa dan Juliaca kekal ditutup. – AFP, 24 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen