Miley Cyrus dan politik Khairy Jamaluddin


Fakhrurrazi Rashid

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipecat kerana didakwa sabotaj terhadap perjuangan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2023.

MILEY Cyrus, penyanyi pop Amerika Syarikat baru saja menerbitkan single terbaharunya bertajuk Flower.

Cyrus meluahkan rasa marah dan kecewa dengan sikap bekas suaminya, Liam Hemsworth yang didapati curang dengan wanita lain sepanjang hubungan cinta dijalinkan. Lirik lagu Flowers penuh dengan sindiran kepada Hemsworth.

Boleh dikatakan, ini adalah balas dendam epik daripada Cyrus yang sudah menamatkan perkahwinannya pada tahun 2020.

Begitulah kisah percintaan yang tidak jujur. Ada pihak yang menumpahkan taat setia dan kasih sayang kepada kasih sayang pun akan dikhianati.

Peristiwa yang berlaku akan menjadi pengajaran dan selalunya akan diabadikan dalam bentuk lagu – kalau ada kreativiti apa salahnya. Jika tidak, simpan sahaja untuk diri sendiri.

Samalah seperti politik. Setialah selama mana dalam parti, jika ada yang tidak berkenan dengan politik diperjuangkan, misi pembersihan dan sesi cantas-mencantas akan berlaku. Perjuangan hanya tinggal kenangan semata-mata.

Bukan apa, apabila mendengar lagu Flowers, saya tertanya-tanya jika Khairy Jamaluddin pun akan keluarkan lagu untuk meluahkan kemarahan dan menyindir presiden Umno selepas memecatnya?

Umno boleh bertahan?

Dia boleh saja buat lagu kerana boleh bermain muzik dan berbakat. Kalau betul ada lagu, apa tajuknya, bila akan dikeluarkan? Kita tunggu sajalah kalau ada.

Bila Khairy Jamaluddin dipecat, ramai yang cakap Umno sudah bungkus. Umno dianggap kurang bijak kerana pinggirkan pemimpin masa depan yang berwibawa.

Dakwaan ini betul, tetapi Umno sememangnya sudah bermasalah setelah kalah PRU14 dan PRU15, bukan selepas Khairy Jamaluddin dan pemimpin Umno yang lain dihukum.

Kalau ada perubahan, katakanlah Ismail Sabri Yaakob menjadi presiden Umno, kemudian mengalih sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Umno kekal bermasalah dan mungkin membuat pilihan yang paling teruk dalam sejarah.

Mungkin, kalau PRU16 hampir tiba, Umno masih bermasalah.

Menyusuri sejarah rencam Umno, parti ini boleh survive walaupun bermasalah. Pertama, kekuatan organisasi Umno yang kukuh. Konsep Ketua jaga anak buah ini masih menjadi asas penting yang akan mengekalkan sokongan daripada ahli-ahli Umno. Selagi asas ini masih ada, Umno masih boleh bergerak.

Lihat sahaja kelicikan Umno dalam kerajaan Muhyiddin Yassin. Sejauh mana Umno dibuli, parti ini ada saja akal untuk terus berkuasa dalam kerajaan. Selagi Umno menjadi kerajaan, parti itu akan selamat.

Umno tidak akan dan mampu menjadi pembangkang. Khairy Jamaluddin sedar akan hakikat ini. Sebab itu, dia sanggup menerima jawatan Menteri walaupun dalam kerajaan tebuk atap.

Kini, ramai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menjadi menteri dan timbalan menteri. Sudah pasti ada habuan buat mereka yang setia dengan pucuk pimpinan parti. Paling kurang pun jawatan di peringkat kawasan akan diserahkan kepada orang kuat Umno semula.

Kedua, pintu untuk kembali ke pangkuan Umno sentiasa terbuka. Sekeras mana pemimpin itu disingkirkan daripada parti, Umno tetap terbuka untuk memaafkan dan menerima kembali pihak yang pernah disingkirkan.

Lawanlah Umno sekeras mana seperti dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah dengan Semangat 46, dia akhirnya kembali ke pangkuan Umno. Dr Mahathir Mohamad juga aktif keluar-masuk Umno beberapa kali.

Khairy Jamaluddin dan Noh Omar bila-bila masa sahaja boleh kembali kepada Umno, tapi sudah pasti bukan pada zaman Zahid Hamidi menjadi presiden.

Tidak hairan juga kalau satu hari nanti orang seperti Hamzah Zainuddin, Muhyiddin Yassin dan bekas pemimpin Umno menyertai Bersatu akan diterima semula ke dalam Umno.

Kebangkitan semula

Kini, kedudukan Zahid Hamidi terus kukuh. Itulah imej dan kuasa yang perlu ditonjolkan Presiden Umno – keras, dominan, ala-ala perwira. Itu memang institusi presiden Umno – pusat kuasa Umno sejak zaman Mahathir Mohamad.

Kassim Ahmad pernah mengkritik institusi presiden Umno yang mempunyai kuasa terlampau besar sehingga setiap keputusan parti akan diputuskan beberapa kerap orang elit dalam parti dan meminggirkan suara akar umbi dalam bukunya Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme kepada Islam.

Namun, tiada siapa peduli kritikan ini. Orang Umno hanya mahu tukar individu bukan membetulkan institusi Presiden. Mungkin, mereka juga ingin kuasa Presiden itu dikekalkan jika ada kuncu-kuncunya terpilih sebagai Presiden Umno.

Konflik dalaman Umno akan memberi beberapa kesan jangka pendek. Pertama, gelombang hijau yang telah menunjukkan sisi garangnya pada PRU15 akan berterusan dalam enam pilihan raya negeri.

Secara logik dan kiraan mudah, penyokong tegar Umno lebih cenderung dan selesa memilih PN kerana perjuangan dan asasnya lebih kurang sama dengan Umno, khususnya kawasan 70% Melayu.

Kedua, golongan pengundi atas pagar Melayu akan bertambah gemuk. Pengundi Melayu berada dalam keadaan ‘dilema’ dalam memilih parti politik. Lebih merugikan jika anak muda Melayu tidak mengundi Umno jika parti itu gagal menemui rentak sebenar untuk bangkit semula.

Episod drama Umno ini tidak akan ada penghujung. Banyak percaturan baharu yang bakal menyusul selepas ini.

Politik Umno hari ini berkisar tentang kebangkitan semula Presiden Umno untuk berkuasa semula dalam parti dan Putrajaya. Cuma, dia mengetuai Umno dalam keadaan yang kritikal dan ditolak rakyat.

Persoalannya, bagaimana Khairy Jamaluddin akan kembali dalam politik untuk duduk semula di dalam Dewan Rakyat pada PRU16?

Kemunculan semula dalam politik adalah plot paling penting selepas tewas dalam pertarungan dan boleh menjadi perhatian rakyat jika ceritanya benar-benar menarik. Kalau dibandingkan Rafizi Ramli, comeback Khairy Jamaluddin lebih susah kerana dia tidak berparti, tidak berjawatan dan kalah dalam PRU15.

Jika betul keputusan Khairy Jamaluddin dalam menyusun langkah, comeback politiknya mesti epik dan memberi kesan kepada parti lamanya dan rakyat.

Sebaliknya, jika dia masih cakap-cakap gempak dan bermain di zon selesa, naratif Khairy Jamaluddin sebagai pemimpin masa depan akan bertambah sukar. Dan mungkin berakhir dengan membuat lagu balas dendam seperti Miley Cyrus.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen