DATUK Bandar London Sadiq Khan memberi bayangan bandar raya itu mungkin akan membida untuk penganjuran Sukan Olimpik 2040.
Beliau berkata dewan bandar raya London dan kerajaan Britain sedang meneroka pilihan untuk mengemukakan bidaan rasmi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik portal berita MyLondon pada Isnin.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan sekerja untuk mendapatkan tawaran bidaan.
“Perjanjian untuk tahun 2032 dan 2036 sudah selesai. Tarikan perjanjian untuk 2040 pula ialah London akan menjadi Olimpik paling hijau pernah diadakan,” kata Khan.
Andai bidaan berhasil London akan menjadi bandar raya pertama yang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas sebanyak empat kali selepas menganjurkannya pada 1908, 1948 dan 2012. – Bernama, 1 Februari, 2023.
Komen