Umno goncang, Pakatan jangan ambil kesempatan


Ruhan Shahrir

Pemecatan beberapa ahli dan pemimpin Umno adalah hal dalaman parti yang perlu dihormati dan diselesaikan mereka sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2023.

UMNO bergoncang dengan penggantungan serta pemecatan beberapa orang anggotanya. 

Nama-nama besar dan juga beberapa pemimpin muda Umno turut tidak terkecuali, sama ada dipecat atau digantung dalam penyusunan semula struktur kepimpinan Umno itu.

Walau apa pun motifnya, ia adalah hal dalaman parti Umno yang perlu dihormati dan diselesaikan oleh parti itu sendiri. 

Manakala rakan-rakan parti komponen khususnya PH yang berada dalam kerajaan perpaduan, jangan pula mengambil kesempatan.

Ujian kesetiakawanan dalam sebuah kerajaan yang dianggotai oleh pelbagai parti adalah di saat salah satu daripada parti komponennya dilanda krisis.

Apakah parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan akan “mencuri” anggota Umno yang dipecat atau dibuang itu? Atau menghormati keputusan rakan parti sekerajaan dengan tidak campur tangan urusan dalaman mereka?

Tidakkah parti-parti dalam PH terfikir bahawa dengan “mencuri” anggota Umno yang dipecat atau digantung itu, hanya akan merumitkan lagi rundingan agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN15) yang akan berlangsung tak lama lagi?

Apakah Umno sanggup untuk berkompromi dalam soal agihan kerusi PRN15 apabila ada bekas anggotanya yang baru dipecat atau anggotanya yang digantung dipancing oleh rakan parti sekerajaannya sendiri?

Persoalan-persoalan ini seharusnya difikirkan dengan lebih mendalam sebelum apa-apa keputusan dibuat memandangkan sudah muncul cakap-cakap yang mahu menawarkan tempat buat mereka yang terbuang itu di dalam PH.

Ujian

Apa yang berlaku ini pada hemat saya adalah suatu ujian untuk melihat sejauh mana hubungan antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan benar-benar ikhlas dan saling hormat-menghormati atau pun penuh dengan syak wasangka dan hasad dengki.

Ketika Umno menghadapi krisis yang cukup rumit, jangan pula ada parti dalam kerajaan perpaduan yang cuba mengambil kesempatan di atas kesempitan rakan sekerajaan.

Jika ini berlaku, ia adalah resepi kepada malapetaka yang akan meruntuhkan kerajaan perpaduan yang dibina begitu berhati-hati dengan masing-masing pihak telah pun berkorban prinsip dan mempertaruhkan kredibiliti mereka sendiri di kalangan penyokong dan pengundi demi untuk membentuk sebuah kerajaan.

Umno telah pun mengorbankan prinsip yang dianutinya apabila berkerjasama dengan PH yang di dalamnya ada musuh zaman-berzaman mereka, yakni DAP. 

Pendirian “No Anwar, No DAP” yang diambil sebelum PRU15 akhirnya terpaksa dikorbankan demi untuk menzahirkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan seperti mana yang diusulkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan PRU15 menunjukkan tidak ada satu parti atau gabungan parti pun yang layak membentuk kerajaan secara bersendirian. 

Parlimen tergantung. Selagi parlimen terus tergantung, tiada satu urusan negara pun dapat dilakukan.

Dalam keadaan pasca-pandemik Covid-19 yang genting dan mendesak itu Umno telah memilih untuk bersama-sama PH bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Parti-parti lain, khususnya dari Sabah dan Sarawak menyusul kemudiannya.

Pengorbanan yang telah Umno lakukan perlu difahami. Begitu juga dengan keputusan Umno untuk memecat dan menggantung beberapa nama besar dalam parti mereka, perlu dihormati.

Suara Melayu

Justeru, cakap-cakap yang mengusulkan supaya parti dalam PH mengutip (atau mencuri?) anggota-anggota Umno yang dikatakan “bersih dan berwibawa” tapi telah terbuang itu, adalah cakap mencundang yang boleh mengundang pula kekeruhan hubungan antara parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan, khususnya antara PH dan Umno.

Walau apapun kekurangan dan kelemahan Umno, satu perkara yang perlu dipertimbangkan adalah Umno masih membawa sebahagian daripada suara masyarakat Melayu. 

Kajian awal Bridget Welsh menunjukkan Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno masih meraih kira-kira 33% sokongan daripada pengundi-pengundi Melayu.

Ini menunjukkan dalam kerajaan perpaduan hanya Umno (menerusi Barisan Nasional) yang membawa suara Melayu terbanyak. 

Manakala PH menurut kajian yang sama, hanya berjaya meraih kira-kira 11% sahaja dukungan daripada pengundi Melayu.

Hakikat politik Malaysia ialah tali pusatnya ada pada masyarakat Melayu. Bukan hanya kerana demografi tapi juga sejarahnya. Terputus tali pusat tersebut, kerajaan yang memerintah pasti akan tergoncang. 
Mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia perlu mendapat sokongan yang signifikan daripada pengundi-pengundi Melayu.

Tanpa dukungan signifikan daripada pengundi-pengundi Melayu, kerajaan tersebut berkemungkinan besar akan mengalami ketidakstabilan yang berpanjangan, yang bisa runtuh dan tumbang pada bila-bila masa sahaja.

Justeru, dukungan daripada Umno terhadap kerajaan perpaduan adalah suatu kemestian kerana ia mewakili jumlah sokongan pengundi Melayu yang bukan nominal. 

Sokongan Umno ke atas kerajaan perpaduan bukan sahaja perlu dipastikan terus wujud, tetapi juga harus terus kuat.

Oleh kerana itu mana-mana anasir yang cuba melemahkan dukungan Umno terhadap kerajaan perpaduan perlu ditangani dengan tegas serta tuntas.

Ini adalah sesuatu yang tak terelakkan apabila sebahagian lagi undi Melayu yang juga cukup signifikan, kira-kira 56%, adalah dipegang oleh PAS-PN, gabungan yang masih mengintai peluang untuk menumbangkan kerajaan perpaduan dengan apa cara sekali pun.

Sabotaj

Namun begitu ada juga yang menjangkakan tindakan pemecatan dan penggantungan yang dilakukan oleh Umno ke atas beberapa anggotanya itu akan menyebabkan Umno “disembelih” oleh pengundi-pengundi Melayu khususnya di enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pemecatan dan penggantungan yang dilakukan itu sememangnya adalah suatu bentuk cerminan kepada masalah krisis kepimpinan yang sedang digeluti oleh Umno.

Anggota-anggota Umno yang merasakan hukuman yang dijatuhkan itu sebagai tidak adil, berkemungkinan besar akan melakukan sabotaj dalam PRN akan datang. Namun krisis kepimpinan bukan satu-satunya masalah Umno.

Yang lebih serius adalah masalah struktur dan budaya yang telah tersulam kejap dalam tubuh Umno, yang menjadikan Umno dilihat sebagai tidak bersih oleh sebahagian besar daripada pengundi-pengundi Melayu.

Justeru, di sinilah peranan rakan-rakan parti sekerajaan, khususnya PH yang telah bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan untuk saling bantu-membantu memperkukuhkan antara satu sama lain. 

Umno yang dilihat sebagai tidak bersih seharusnya dibantu oleh PH yang dilihat lebih bersih.

Apa guna berkawan dan berkabinet dalam satu kerajaan bersama, jika tidak saling bantu-membantu di kala seorang kawan sedang sakit. Membiarkan Umno bersendirian untuk merawat kesakitan tubuhnya bukanlah jalan yang terbaik.

Syak wasangka takkan terhapus dengan masing-masing membawa haluan sendiri. Keraguan dan kecurigaan hanya bisa terpadam melalui kerja bersama bukan terpisah. Kesepaduan dan kepercayaan hanya bisa dibangunkan menerusi kerja bergandingan bukan berasingan.

PH sebagai teraju utama kerajaan perpaduan perlu lebih pro-aktif untuk membantu. Kesakitan Umno adalah kesakitan yang terhasil daripada proses sejarah yang panjang. 

Ia memerlukan masa untuk pulih. Ia memerlukan rakan-rakan parti sekerajaan yang memahami.

Kerjasama yang lebih rapat dan kerap perlu dimulai dari sekarang. Bukan hanya di tingkat kepimpinan tetapi juga di tingkat akar umbi.

Jika Umno “disembelih” pada PRN15 nanti, bukan hanya PH, bahkan kerajaan perpaduan pun berkemungkinan akan turut “tersembelih” sama. – 30 Januari, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen