Ahli Parlimen DAP minta penjelasan polis mengenai Good Star


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata sepucuk surat Bank Negara yang bertarikh 4 April 2016 kepada PAC telah mengesahkan bahawa Good Star yang menerima AS$1.03 bilion secara terus dari 1MDB, bukanlah anak syarikat rakan usaha sama 1MDB iaitu Petrosaudi International Ltd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2018.

AHLI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua meminta pihak polis menjelaskan sekiranya mereka ada menyiasat AS$1.03 bilion (RM4.2 bilion) yang dipindahkan ke Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho.

“Adakah polis menyiasat AS$1.03 bilion yang dipindahkan ke Good Star? Ia telah disahkan oleh 1Malaysia Development Berhad sendiri, dan disahkan dengan mudah.

“Adakah polis menyoal saksi-saksi dari Bank Negara Malaysia yang mengesahkan Good Star milik Jho Low, selari dengan semua penemuan yang didedahkan Jabatan Kehakiman AS?” kata Pua semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata sepucuk surat Bank Negara yang bertarikh 4 April 2016 kepada PAC telah mengesahkan bahawa Good Star yang menerima AS$1.03 bilion secara terus dari 1MDB, bukanlah anak syarikat rakan usaha sama 1MDB iaitu Petrosaudi International Ltd.

Pada 26 Mei 2016, Kementerian Kewangan melalui jawapan bertulis Parlimen telah berkata bahawa Good Star dimiliki oleh Petrosaudi International apabila ia menerima AS$1.03 bilion dari 1MDB.

Kementerian itu berkata, berdasarkan kepada rekod syarikat pelaburan tersebut, ketika bayaran itu dibuat pada 2009, Good Star dimiliki oleh Petrosaudi International.

“Pembayaran itu dibuat supaya 1MDB akan memperoleh 40% kepentingan dalam satu usaha sama. Petrosaudi juga mengakui menerima bayaran tersebut, berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat ketika pemindahan pembayaran,” kata Kementerian Kewangan.

Pua mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang kapal layar mewah Equanimity milik Jho Low berharga RM1 bilion dirampas bukan kerana saman pelucuthakan sivil untuk merampas aset 1MDB. – 12 Mac, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen