Equanimity dirampas sebab DoJ nak bekukan aset Jho Low, kata KPN


Menurut Ketua Polis Negara, siasatan polis terhadap 1MDB yang dibuat berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentang di Parlimen pada 7 April 2016 itu menunjukkan Low tidak pernah di syarikat dana pelaburan negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 7 Mac, 2018.

EQUANIMITY dirampas kerana Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) telah memfailkan saman sivil untuk membekukan aset ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bukit Aman hari ini, Fuzi berkata kapal layar mewah berharga RM1 bilion itu dirampas bukan kerana saman pelucuthakan sivil untuk merampas aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tambah Fuzi, siasatan polis terhadap 1MDB yang dibuat berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentang di Parlimen pada 7 April 2016 itu menunjukkan Low tidak pernah di syarikat dana pelaburan negara itu.

Jelasnya lagi, siasatan kes itu masih dijalankan dan pada peringkat ini, tiada keterangan kukuh mengaitkan Low dengan keputusan dan urus niaga yang dibuat 1MDB.

“Bagaimanapun, sekiranya pihak polis memperolehi sebarang keterangan baru terhadap Low Taek Jho, tindakan sewajarnya akan diambil ke atas Low Taek Jho,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mohamad Fuzi memberitahu media yang Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan pihak berkuasa Indonesia tidak pernah menghubungi polis Malaysia untuk membantu dalam rampasan kapal layar milik jutawan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Kapal pesiar mewah Equanimity itu dikatakan dibeli pada harga RM196.5 juta, dengan wang yang didakwa daripada 1MDB, dirampas oleh polis Indonesia di Bali minggu lepas atas permintaan FBI.

Dalam perkembangan berkaitan, penerbit filem Hollywood The Wolf of Wall Street bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian, susulan tuduhan ia mendapat keuntungan menerusi dana dicuri daripada 1MDB, menurut majalah AS Variety.

Red Granite Pictures, yang dimiliki oleh Riza Aziz, anak tiri kepada Perdana Menteri Najib Razak, memfailkan ketetapan bersama dengan pendakwa raya AS semalam di mana ia tidak mengakui sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.

“Kami gembira akhirnya dapat mengakhiri semua ini dan tidak sabar untuk memfokuskan kembali perhatian kepada perniagaan filem kami,” kata syarikat itu dipetik sebagai berkata kepada Variety. – 7 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Dalam perkembangan berkaitan, penerbit filem Hollywood The Wolf of Wall Street bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian, "

    Mengapa setuju.bayar usd60 juta sebagai penyelesaian jika tidak terlibat dengan wang 1mdb..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

    • "Equanimity dirampas sebab DoJ nak bekukan aset Jho Low, kata KPN"


      Utk salleh keruak.. jika aset itu bukan.milik j lho.mengapa pula ia harus dirampas..kpn.pun.tahu.


      Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • USA, Swiss, UK, Singapore, Australia ...... sekarang Indonesia. Malu!

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan