Bersatu cabar Umno, BN debat manifesto


Radzi Razak

PENGARAH Strategi Bersatu Rais Hussin mencabar penggubal manifesto BN dan Umno untuk berdebat dengan beliau dan Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan bagi menunjukkan manifesto yang lebih baik. 

Menurut beliau, ini bagi menjawab semua tuduhan dan celaan bahawa tawaran dalam Buku Harapan PH itu tidak praktikal dan tidak berpaksikan realiti. 

“Lepas BN Umno keluar manifesto mereka, kami mahu adakan debat bersama penulis manifesto mereka dengan kita. Kalau berani ambil cabaran ini,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Manifesto PH yang dilancarkan pada Khamis lalu antara lain dianggap oleh pemimpin BN sebagai tidak realistik terutamanya dalam penghapusan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pemberian subsidi minyak bersasar. 

Turut menjadi sasaran kritikan adalah janji PH untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman pelajaran PTPTN yang dianggap tidak praktikal kerana tidak mengambil kira faktor seperti masa, kekangan peruntukan dan tenaga sumber manusia.

Namun kata Rais, walau menerima kritikan seperti itu, beliau yakin manifesto berkenaan adalah yang paling lengkap pernah ditawarkan oleh semua parti dalam PH.

Beliau juga yakin, manifesto berkenaan akan membolehkan PH membentuk kerajaan.

“(Pada) 2008, dengan manifesto pembangkang dapat lima negeri. Pada 2013, dengan manifesto pembangkang dapat 52 peratus undi popular. 

“Apa yang berlaku lepas ini? Dengan peralihan undi 8 peratus Insya-Allah kita akan jadi kerajaan,” kata beliau. 

Sementara itu, timbalannya Wan Saiful Wan Jan berkata Umno dan BN hanya berani mengkritik perkara tersebut kerana tidak mempunyai jawapan terhadap janji lain yang terkandung dalam manifesto tersebut. 

Beliau berkata satu pertiga daripada janji manifesto itu merangkumi pembaikan institusi langsung tidak berani disentuh oleh mereka yang membuktikan mereka sebenarnya kurang idea. 

“Kita ada 60 janji dalam manifesto dan tambah beberapa perkara ada dalam 100 perkara yang hendak dilakukan, mereka (BN) hanya sentuh satu peratus sahaja. 

“Jangan terpengaruh dengan naratif sempit BN. Selagi semua terperangkap dengan naratif ini, selagi itu kita tak boleh bergerak ke hadapan,” kata beliau. 

Manifesto PH yang dipanggil Buku Harapan itu menjanjikan 10 janji utama yang bakal dilaksanakan dalam tempoh 100 hari dan 60 janji dalam tempoh lima tahun dengan tumpuan khusus kepada lima iltizam.

Selain menghapuskan GST dan subsidi petrol, perkara yang terkandung dalam 10 janji itu ialah penghapusan hutang peneroka Felda dan juga caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk suri rumah.

Selain itu PH juga menawarkan untuk menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan mengkaji semula projek mega. – 12 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen