Janji PH tidak praktikal dan realistik, kata Mahdzir 


Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid menyifatkan janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya ibarat janji bulan dan bintang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018.      

JANJI Pakatan Harapan (PH) untuk menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN  dalam 100 hari selepas sekiranya berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dianggap sebagai tidak praktikal dan tidak realistik untuk dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid berkata, janji itu tidak mengambil kira pelbagai faktor seperti masa, kekangan peruntukan dan tenaga sumber manusia.

“Jadi, dia orang ini (Pakatan Harapan) janji (tangguh bayaran) PTPTN, (hapus) tol, (hapus) GST, saya ingat itu semua janji macam bulan dan bintang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di SMK Sacred Heart di Sibu hari ini.

Beliau diminta mengulas manifesto PH yang dipanggil Buku Harapan yang dilancarkan Khamis lalu di mana 10 janji utama bakal dilaksanakan dalam tempoh 100 hari dan 60 janji dalam tempoh lima tahun dengan tumpuan diberikan kepada lima iltizam khusus.

Antara 10 janji tersebut ialah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi petrol bersasar, hapus hutang peneroka Felda, KWSP untuk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menangguhkan bayaran PTPTN, menyiasat skandal, mengembalikan status Sabah dan Sarawak, Skim Peduli Sihat dan kaji semula projek mega.

Terdahulu Mahdzir menyeru warga sekolah tersebut berusaha untuk mengekalkan kedudukan di kalangan 10 sekolah terbaik di negara ini.

SMK Sacred Heart Sibu pernah menduduki tempat teratas dalam senarai 10 sekolah terbaik pencapaian dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2016 tetapi menurun ke tangga kelima bagi STPM 2017.

Sementara itu, Mahdzir berkata kementeriannya akan memberikan keutamaan kepada empat perkara khusus bagi penambahbaikan kemudahan sekolah-sekolah di kawasan parlimen Kapit dan Hulu Rejang.

Bercakap pada majlis makan malam bersama para pengetua dan guru besar dari kawasan terbabit di Kapit malam tadi beliau berkata, perkara tersebut ialah peningkatan jalur lebar internet sekolah, bekalan air bersih, asrama dan bekalan elektrik.

Katanya, keperluan mendesak untuk pelajar-pelajar sekolah seperti tilam asrama boleh didapatkan dengan segera tanpa melalui sebarang mesyuarat dengan syarat ada peruntukan kewangan mencukupi.– Bernama, 10 Mac, 2018.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen