Merakyatkan Madani


Fakhrurrazi Rashid

Konsep Madani adalah kesinambungan kepada gagasan reformasi yang telah dibahas dan ditambah baik Anwar Ibrahim dalam tempoh jangka masa panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari 2023. 

“KENAPA Anwar guna Madani? Bukan dia Reformasi ke?”

Itulah pertanyaan seorang dua kawan bila terbaca tentang peluncuran Madani. 

Saya cuma jelaskan Madani adalah idea atau matlamat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan pentadbirannya dalam tempoh lima tahun seperti 1Malaysia dan Malaysia Prihatin. 

“Kiranya orang Pakatan Harapan (PH) lepas ni tak jerit Refromasi lah? Takkan jerit Madani, bunyi pelik”. Pertanyaan lanjut kawan saya seorang lagi. 

Rakan-rakan saya bukanlah pengikut tegar politik dan mungkin kebanyakan rakyat Malaysia terbiasa melihat Anwar dengan slogan reformasi – lebih sedap, padat, dan bertenaga. Perkataan Madani itu amat asing sedikit. 

Sesiapa sahaja ikuti rapat syarahan dan politik Anwar Ibrahim, konsep Madani adalah satu gagasan yang mahu membawa Malaysia lebih berdaya saing dan maju. 

Idea seperti ekonomi manusiawi dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara adalah ruji harian Anwar setiap kali berucap mahupun berdialog dengan masyarakat.  

Konsep Madani adalah kesinambungan kepada gagasan reformasi yang telah dibahas dan ditambah baik Anwar dalam tempoh jangka masa panjang. 

Madani berasaskan idea-idea reformasi telah mencetuskan perubahan politik lebih dua dekad lalu. 

Saya juga antara anak muda yang tertarik dengan idea reformasi yang aktif dibahas dan dibukukan, khususnya pasca pilihan raya umum ke-12 (PRU12), turut  dikenali sebagai Tsunami Politik. 

Minat saya tentang reformasi parlimen bermula dengan perbahasan dan kupasan idea daripada pihak pembangkang ketika itu yang diterajui Anwar, iaitu Pakatan Rakyat (PR).

Kemudian, ahli akademik, badan pemikir, dan pemimpin pelajar telah memperluaskan idea-idea reformasi parlimen dalam persekpektif  berbeza. 

Konsisten dan komited

Jika tidak kerana agenda reformasi parlimen yang diketengahkan Anwar selepas PRU12, pengetahuan saya dan rakan-rakan lain tentang parlimen mungkin terbatas.

Parlimen hanya dikenali sebagai tempat kerajaan ‘bulldoze’ undang-undang tanpa semakan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.  

Konsistensi dan komitmen dalam menyampaikan agenda parlimen ini adalah kunci kejayaan sebenar. 

Pembaharuan parlimen menjadi kenyataan pasca PRU14 dengan tertubuhnya makenisme seperti Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) bagi memperkasa fungsi parlimen. 

Perubahan ini bermula sejak awal lagi di peringkat negeri seperti Selangor sejak 2008. 

Ucapan ‘Membangun Malaysia Madani’ disampaikan Anwar  ditujukan kepada pemimpin dan pembuat dasar kerajaan. 

Kumpulan ini mempunyai tanggungjawab berat memastikan asas-asas Madani diangkat dalam setiap keputusan penting. 

‘Merakyatkan Madani’ pula adalah satu aspek penting untuk memastikan mesej tersurat dan tersirat dalam gagasan tersebut disampaikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. 

Membawa Madani ke lapangan bermaksud meletakkan gambaran visual dan imaginasi agar ia melekat difikiran dan dibibir rakyat. 

Itulah yang dilakukan zaman Najib Razak di bawah slogan 1Malaysia. Klinik, kedai runcit, sehingga projek perumahan wajib ada slogan ‘1Malaysia’. Syarikat diselewengkan pun ada 1Malaysia – 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Banyak produk 1Malaysia ini tidak menyelesaikan masalah rakyat, tetapi kerana jenamanya popular, ia masih diingati sebahagian rakyat sehingga hari ini. 

Apakah produk kerajaan perpaduan nanti akan diselit dengan jenama Madani? Contohnya rumah Mampu Madani dan Bantuan Keluarga Madani? Sudah pasti, Anwar tidak sampai ke tahap ini.

Kunci kejayaan Madani adalah konsistensi dan komitmen pihak kerajaan Perpaduan membawa gagasan ini seperti mana idea-idea reformasi yang telah dibahaskan sekian lama sejak PRU12. 

Madani hanya akan berjaya jika ia benar-benar menimbulkan rasa perubahan dalam kehidupan rakyat dan kemajuan negara. 

Soalnya, Madani perlu bermula dari mana? 

Kumpulan sasaran utama Madani adalah anak muda atau belia. Berbeza dengan anak muda pada era reformasi, belia hari ini lebih berperanan dalam membuat keputusan buat negara. 

Golongan belia bukan sekadar menjadi pendukung sesuatu idealisme, tetapi mampu menterjemahkan idealisme tersebut dalam bentuk tindakan seperti mengundi di dalam pilihan raya. 

Apabila anak muda sudah sebati dengan Madani, ia dapat menyuburkan lagi pemikiran yang lebih luas dalam menilai masa depan negara dalam pelbagai aspek. 

Generasi ini juga akan meneruskan percambahan idea dan gagasan kepada masyarakat akan datang dengan pemikiran lebih segar, seiring dengan peralihan zaman. 

Madani negara dan dunia

Kita tidak mahu Madani menjadi idealisme kaku. Ramai pemimpin dan ahli akademik menghurai dan memuji-muji Madani, tetapi enggan  turun ke lapangan, menggunakan bahasa komunikasi yang mudah untuk menyampakian cerita Madani kepada rakyat terbanyak. 

Kritikan menyatakan Madani hanyalah slogan kosong juga kurang tepat. Gagasan ini hadir ketika negara-negara barat dan maju diuji dengan fahaman puak pelampau kanan bermain sentimen agama sehingga meruntuhkan nilai demokrasi yang mereka sanjungi sejak skian lama. 

Begitu juga politik kebencian yang semakin membimbangkang di negara Asia seperti India sehingga mewujudkan ketegangan agama. 

Masalah politik Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Politik identiti keterlaluan kian menjejaskan keharmonian negara atas perebutan kuasa semata-mata. 

Ada pandangan menyatakan masalah perkauman dan politik agama akan berakhir jika rakyat Malaysia mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal. Soalnya, adakah ekonomi sahaja dapat mengatasi isu ini? 

Hakikatnya, negara maju seperti Sweden, negara contoh terbaik dalam bidang pendidikan dan ekonomi bertaraf dunia, terpaksa berdepan dengan kebangkitan kumpulan politik pelampau yang menjejaskan keharmonian rakyatnya. 

Justeru, membetulkan keadaan ekonomi adalah perancangan jangka panjang bagi menyusun semula kehidupan rakyat yang lebih baik. 

Namun, ketegasan pemimpin menangkis segala dakwaan dan persepsi politik melulu penting bagi memperkukuhkan kestabilan dan pentadbiran negara.

Sebab itu, Madani perlu tampil sebagai sebuah gagasan yang berani menjawab persepsi politik kaum dan agama yang kian menebal dalam ruang politik negara dan peringkat global. 

Komitmen mengembangkan idea Madani akan menghasilkan masyarakat lebih matang dengan mengangkat nilai-nilai toleransi, kemanusiaan, dan kedamaian di peringkat nasional mahupun dunia. 

Tempoh satu penggal, ikut hukum politik, adalah satu jangka masa pendek. Sejujurnya, gagasan Madani mempunyai masa terlalu singkat untuk diterjemahkan kepada rakyat. 

Jika Madani benar-benar diterjemahkan kepada rakyat secara konsisten dan komited, kerajaan Perpaduan mempunyai kelebihan untuk membawa perubahan. 

Jika tidak, Madani hanya sekadar akronomi dipuji-puji tanpa sebarang pembaharuan sebenar. – 28 Januari 2023. 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mantap

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Naim Al-Kalantani · Ulasan