SEORANG pemimpin muda Umno menyeru Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan bermesyuarat malam ini supaya menimbang kesan buruk baik keputusan mereka kepada nasib parti apabila enam pilihan raya negeri diadakan tidak lama lagi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata MKT Umno akan berbincang dan memutuskan apa yang beliau sifatkan sebagai “pembersihan parti secara besar-besaran” melibatkan mereka yang didakwa mengkhianati parti pada pilihan raya umum lepas.
Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Umno Malaysia Syed Mohd Syed Nasir berkata Umno perlu bijaksana membezakan antara balas dendam politik dan keseimbangan kuasa supaya parti akhirnya tidak rosak binasa.
“Presiden Umno dan ahli Majlis Kerja Tertinggi perlu membuat keputusan yang betul kerana keputusan mereka akan beri kesan kepada Umno pada pilihan raya di enam negeri nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya pertengahan tahun ini ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu.
Pemimpin Umno umumnya enggan mengulas mengenai mesyuarat MKT Umno malam ini namun dipercayai akan menentukan tindakan terhadap beberapa pemimpin kanan parti termasuk bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar.
Mereka antara yang lantang dan terbuka mengkritik kepimpinan Zahid dan hala tuju politik Umno yang beliau kemudi.
“MKT Umno perlu menggesa presiden supaya bertindak demi masa depan Umno dan bukannya atas isu peribadi setelah dikritik oleh ahli parti,” kata Syed Mohd.

Beliau juga mengingatkan Umno supaya tidak mengulangi kesilapan sebelum ini apabila memecat Annuar Musa dan Shahidan Kassim.
“Umno tidak boleh kalah lagi dalam pilihan raya negeri nanti,” tambahnya.
Khairy semalam berkata tidak menerima sebarang surat daripada parti tetapi mengaku tidak terkejut sekiranya dikenakan tindakan termasuk dipecat dari parti seperti yang berlaku kepada beberapa pemimpin lain sebelum ini.
Noh pula mendedahkan beliau dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno bersama empat pemimpin Umno Tanjong Karang pada Isnin ini.
Syed Mohd sebelum ini mendakwa kritikan dan pandangannya mengenai Umno sedang dipantau untuk dilaporkan kepada lembaga disiplin parti.
Beliau menyifatkan tindakan itu mematikan demokrasi dalam Umno.
Syed Mohd sebelum ini menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan supaya menangani dengan adil aduan dua ahli Umno berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan parti semasa perhimpunan agung baru-baru ini.
Aduan mereka berkaitan dengan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti menjelang pertengahan tahun ini. – 27 Januari 2023.
Komen