AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno Noh Omar mengesahkan beliau antara beberapa pemimpin Umno yang sedang diadili oleh lembaga disiplin parti atas dakwaan khianat kepada parti semasa pilihan raya umum yang lepas, lapor Sinar Harian.
Noh berkata selain beliau empat lagi pemimpin Umno Tanjong Karang turut dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Umno pada Isnin ini (30 Januari).
“Saya bersedia untuk terima apa jua keputusan dibuat parti. Kalau hendak pecat, pecatlah, saya tidak kisah.
“Tetapi kalau Umno masih hendak cari salah individu tertentu punca parti kalah PRU15, terpulanglah,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Empat pemimpin Umno Tanjong Karang itu ialah Jasman Anuar (setiausaha bahagian), Salbiah Saari (ketua Puteri bahagian), Yusop Omar (AJK bahagian), dan Nurul Syazwani Noh (AJK Puteri bahagian).
Yusop adalah juga adik kepada Noh sementara Nurul Syazwani anak perempuannya.
Menurut Noh, mereka menerima notis panggilan itu minggu lepas daripada pengerusi Lembaga Disiplin Umno Hafarizam Harun melalui WhatsApp.
“Saya sedia dipanggil Lembaga Disiplin Umno dan rela kena pecat kalau prinsip saya bersuara demi parti dianggap sabotaj,” katanya juga.
Beliau juga mengesahkan beliau akan hadir ke mesyuarat MKT Umno pada malam ini dan akan menggunakan kesempatan itu untuk menjelaskan setiap pertuduhan yang dikemukakan kepadanya.
Jelas Noh, Umno sepatutnya menerima hakikat bahawa rakyat sudah bersuara dan parti perlu bermuhasabah atas kekalahan teruk parti pada Pilihan Raya Umum ke-15.
“Adakah pengkhianatan parti hanya berlaku di kerusi Parlimen Tanjung Karang semata-mata pada PRU lalu?
“Kalau Tanjung Karang sahaja yang kalah di Selangor, bolehlah nak tuduh ada pengkhianatan parti,” katanya.
Noh berpendapat tidak logik untuk Umno mencari salah orang apabila parti gagal menang satu kerusi pun di sesetengah negeri, sementara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri pun menang kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti tipis 348 undi.
“Adakah sebab berlaku sabotaj dalaman? Kalau Umno mahu ke hadapan, jangan cari jalan mudah salahkan orang lain, sebaliknya buka lembaran baharu dengan muhasabah diri dan lupakan kekalahan lalu,” katanya.
Noh antara nama besar Umno yang tidak dicalonkan semula pada PRU15.
Beliau yang tidak pernah kalah di Tanjong Karang sejak 1995 mendakwa namanya digugurkan daripada jadi calon pilihan raya kerana lantang mengkritik beberapa keputusan politik Zahid. – 27 Januari, 2023.
Komen