PENYIASAT antarabangsa berkata mereka akan mendedahkan bulan depan hasil siasatan terhadap “pihak lain” yang terlibat dalam menjatuhkan pesawat Malaysia Airlines MH17, selepas tiga orang didapati bersalah tahun lepas.
Penemuan itu dijangka mengenai penyelidikan mereka berhubung siapa sebenarnya yang menembak jatuh pesawat itu dengan pelurui berpandu di timur Ukraine pada 2014, dan siapa yang asalnya membekalkan peluru buatan Rusia.
Kedua-dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh oleh mahkamah Belanda pada November didapati tidak mengaktifkan pencetus, tetapi hanya membantu membawa peluru berpandu ke Ukraine.
Namun dalam sidang media di The Hague pada 8 Februari depan, penyiasat akan mendedahkan “hasil siasatan yang sedang dijalankan terhadap pihak lain yang terlibat dalam penembakan pesawat MH17”, kata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) dalam satu kenyataan.
Keluarga mangsa akan dimaklumkan terlebih dahulu, katanya.
“Selain penglibatan DPR (Republik Rakyat Donetsk), JIT juga menyiasat anak kapal Buk-TELAR dan mereka yang bertanggungjawab membekalkan sistem senjata Rusia ini yang menjatuhkan MH17.”
Hakim Belanda mendapati warga Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko dari Ukraine adalah anggota pemisah DPR, dan kumpulan itu dikawal oleh Moscow.
Hakim bagaimanapun berkata tidak jelas siapa yang sebenarnya mengendalikan sistem peluru berpandu BUK ketika pesawat itu ditembak jatuh.
Kesemua 298 orang di dalam pesawat itu terbunuh apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai pemisah pada 17 Julai 2014.
Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam menembak jatuh pesawat itu, atau mengawal kumpulan pemisah.
JIT terdiri daripada ahli dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, negara yang paling teruk terjejas akibat nahas pesawat Boeing 777 itu.
Hakim hak asasi Eropah di Strasbourg pada Isnin secara berasingan memutuskan bahawa kebanyakan aduan yang dikemukakan oleh Belanda mengenai MH17 boleh diterima. – AFP, 26 Januari, 2023.
Komen