Kes culik bayi, polis sambung reman pasangan kekasih


REMAN seorang remaja perempuan dan teman lelakinya disambung sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang bayi perempuan berusia 9 bulan yang diculik dari rumah pengasuhnya di Bukit Tengah di Bukit Mertajam Selasa lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata tiga lagi yang sebelum ini ditahan bersama pasangan kekasih itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya yang berumur 18 tahun itu sahaja disambung reman empat hari bagi membantu siasatan dan berdasarkan siasatan serta arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya kedua-duanya akan didakwa di mahkamah pada 30 Ogos ini.

“Manakala tiga lagi yang turut ditahan iaitu rakan lelaki pasangan kekasih, ayah tiri dan ibu kepada kekasih remaja perempuan itu dibebaskan dengan jaminan polis. Mereka akan jadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke rumah ibu bapa bayi perempuan yang menjadi mangsa culik di sebuah pangsapuri di Taman Pauh di Bukit Mertajam hari ini bagi melihat perkembangan bayi itu.

Mohd Shuhaily berkata setakat ini berdasarkan siasatan mendapati kejadian itu tiada elemen mahu menjual bayi berkenaan kepada sesiapa atau sindiket menjual bayi seperti yang tular sebelum ini.

Sementara ibu kepada bayi tersebut Farisha Amirah Zainal, 24 berkata anaknya berada dalam keadaan sihat dan selamat ketika ditemui semula namun sehingga kini dia serta suaminya Mohamad Rahimi Abdul Malik,26 masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Dia yang bekerja di sebuah kilang itu juga mengambil keputusan untuk terus berhenti kerja dan menjaga sendiri anak tunggal mereka itu kerana bimbang kejadian serupa berlaku pada masa hadapan.

“Berdasarkan pemeriksaan doktor sebaik ditemui semula, anak saya sihat cuma sejak kejadian itu dia selalu terkejut atau menangis semasa tidur waktu malam. Mungkin sebab masih terkejut namun Alhamdulillah kami bersyukur dia ditemui selamat,” katanya.

Katanya mereka sekeluarga berterima kasih kepada pihak polis kerana tindakan pantas mereka telah berjaya menahan kesemua suspek dan menjumpai semula anaknya dalam keadaan selamat dan sihat walaupun sepanjang dilarikan bayi tersebut hanya diberikan susu pekat dicampur air bersama cucur udang sahaja.

Dalam kejadian itu pada Selasa lalu, polis menahan lima individu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita yang berusia 14 hingga 43 tahun dalam serbuan di Machang Bubok dan Kulim, Kedah pada hari sama ekoran laporan polis dibuat bapa bayi itu. – Bernama, 27 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen