Duan Nago Bogho dan ‘Angin’ Makyung


Naim Al-Kalantani

Sabri Yunus terus memasukkan unsur kesenian tradisional dan watak gedebe dalam karya terbaharunya, 'Duan Nago Bogho'. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Januari, 2023.

FILEM “Duan Nago Bogho” mempunyai anginnya tersendiri. Karya ini besar idea yang ingin disampaikan, juga meliputi kebudayaan dan seni orang Kelantan.

Lihat sahaja tajuknya, berbaur Kelantan dan ceritanya ada elemen Makyung; tentu sahaja tekaan pertama penonton melalui teori auteur, filem ini memang milik Sabri Yunus.

Pertukangan Sabri sedari dulu hingga sekarang, nampak sukar untuk melepaskan kesenian tradisional dan watak gedebe dalam karyanya, baik filem ataupun telefilem.

Daripada “Pok Ya Cong Codei” hinggalah kini “Duan Nago Bogho”, meneruskan sisi-sisi tradisional dan sifat gedebe orang Kelantan yang susah untuk diterjemahkan dalam bentuk perkataan.

“Buka panggung” Duan Nago Bogho memperlihatkan suasana masyarakat Kelantan menonton Makyung di pantai. Seorang watak Peran Tua muncul dengan watak jenaka yang bergurau dengan rakannya Peran Muda di atas panggung.

Adegan Peran Tua berbual dengan Permaisuri. Manakala watak utama filem, Duan (Asrulfaizal Kamarulzaman), penonton boleh mengagak Duan membawa watak Peran Muda di atas panggung tersebut.

Soalan paling asas akan timbul di benak penonton, kenapa watak utama cerita memainkan watak “sampingan” dalam Makyung?

Adakah sutradara filem ini sengaja tidak mahu memberi Asrul bermain watak Makyung, Pakyung ataupun paling tinggi, sebagai Raja?

Barang diingatkan, penonton yang datang terkadang bukan dengan pen dan kertas.

Bukan dengan isian minda yang disumbat silibus Makyung sedari awal. Bahkan tak pelik warga Kelantan atau Pantai Timur pun tak tahu menahu berkenaan teater tradisional ini.

Cerita ini akan jadi “lengkap” dengan dua perkara. Pertama, watak Peran perlu penjelasan lanjut. Kedua, permainan Makyung itu sendiri perlu dirincikan.

Peran

Rahimidin Zahari dan Sutung Umar RS menyatakan peran merupakan watak penting dalam kebanyakan teater tradisional di Asia Tenggara.

Watak ini juga ada dalam persembahan tradisional lain seperti wayang kulit, menora dan Mek Mulung.

Salah untuk meletakkan watak lelucon ini sebagai watak sampingan. Peran Tua dan Peran Muda walaupun bersikap lucu dan bodoh alang, tetapi wataknya sangat besar.

Seperti mana dalam Duan Nago Bogho, adalah tepat watak Duan yang membawa cerita ini sehingga tamat.

Sebagai watak peran, Duan perlu peka dengan keadaan sekeliling.

Sedang bermain makyung di atas panggung, Duan masih dapat mengamati suasana di bawah. Seorang wanita dikacau oleh lelaki. Duan tak tertahan, turun dari panggung dan bergocoh.

Establishment Sabri Yunus berjaya di saat ini. Pembukaan menggunakan dua watak – Peran yang lucu dan Duan yang “gedebe” – memberi kesan dalam minda bawah sedar penonton.

Rahimidin dan Sutung sekali lagi mengesahkan perwatakan Duan. Peran sememangnya dilatih dengan beberapa perkara iaitu pemerhati, mendengar, bermain muzik, berlakon dan beberapa hal lagi.

Tamat sahaja “buka panggung” tadi, Duan sampai ke Pasar Selayang. Terjadinya pergaduhan sekali lagi.

Watak Duan rupanya pandai bersilat. Memang tidak ditunjukkan buah atau latihan silat di dalam filem tersebut, tetapi watak Peran memainkan peranan besar dalam diri Duan.

Peran ini sentiasa bersama raja ketika main makyung. Adakalanya, situasi tegang di atas panggung berlaku dan peran akan melindungi raja.

Secara tidak langsung, ilmu persilatan atau umumnya ilmu mempertahankan diri perlu ada dalam diri setiap peran.

Walaupun songkoknya dipakai terbalik, pipinya disolek merah untuk menimbulkan rasa lucu, peran ini bukan kepalang wataknya.

Duan pandai bergocoh dalam kehidupan sebenar disebabkan latihan mempertahankan diri sebagai Peran di dalam Makyung.

Saya pernah menulis dulu di pojok ini juga (lihat: Mek Mulung dan perubahan teater tradisional Melayu), bagaimana sesetengah penonton yang datang menonton teater tradisional untuk menonton lakonan peran, bukan watak utama.

Watak peran menjadi penting kerana watak inilah yang menggerakkan cerita dan menjadi narator.

Disebabkan itulah watak ini perlu peka dengan keadaan atau mod sekeliling. Improvisasi watak ini penting kerana penonton perlu dihiburkan, dan hanya watak ini sahaja yang sesuai untuk menokok tambah apa-apa perubahan.

Disebabkan itulah melalui satu adegan di depan Dewan Usman Awang, Rumah Pena; Duan menolak skrip makyung yang dihulur oleh Awi (Saidi Sabri).

Dalam mana-mana pementasan tradisional, asalnya tak ada skrip sehinggalah tiba zaman teater bangsawan – yang mana teater ini merupakan teater transisi teater moden dengan tradisional.

Salah satu perbezaannya dua teater ini ialah teater tradisional tidak mempunyai skrip yang khusus – yang ada hanyalah cerita.

Cerita yang dimainkan di establishment dan klimaks filem ini adalah cerita yang sama – cerita Dewa Muda yang mana kisah ini merupakan cerita pokok yang paling utama.

Awi berkata, “Mu main Mokyong di Kelate tu tak po la takdok skrip, ini kita nak main di Jepun.”

Kalau penonton tak biasa dengan teater tradisional, perkara-perkara seperti inilah yang tidak difahami.

Ada baiknya pengarah tidak mendedahkan beberapa hal, tapi dalam beberapa hal pula, terkadang perlu adil kepada penonton yang datang menonton dengan ruang hampa.

Angin

Sedari kecil semasa saya membesar dan sempat bersekolah sekejap di Kelantan, beberapa kali mendengar perkataan “angin”.

Setakat ini, DBP pun tidak (atau tidak mampu?) menterjemahkan lagi “Angin” (dengan kata nama khas).

Rahimidin dan Sutung dalam buku yang sama menulis secara ringkas; Main Teri (Main Puteri) menggunakan alat muzik yang hampir sama dengan persembahan Makyung dan bertujuan memulihkan pesakit daripada “angin” dan “emosi”.

Mereka berdua tidak menterjemahkan apa itu Angin yang dimaksudkan. Pauline Fan yang lama bergelumang dalam seni tradisional Melayu khususnya Kelantan, menulis kertas panjang hanya berkenaan Angin. 

Beliau menerangkan Angin Makyung (dan Main Teri) merupakan ritual penyembuhan.

Tetapi yang menarik di sini ialah Pauline sendiri tidak menterjemah perkataan “Angin” kepada perkataan lain. Cuma dia memetik sarjana Carol Laderman yang menyamakan Angin dengan Inner Winds.

Saya kira memang perkataan ini tidak boleh diterjemahkan. Barang diingatkan bahawa pada zaman dahulu (kalau dikira kelahiran Makyung sekitar 400 tahun lalu) tidak wujud fasiliti hospital atau klinik. Yang ada adalah tok bomoh atau dukun.

Penggunaan ritual angin sama seperti penyembuhan yang dilakukan oleh doktor atau pembantu perubatan di zaman sekarang.

Sebab itulah selain teater tradisional ini menjadi wadah hiburan, dalam sisi yang terdalam, ia sebenarnya dimainkan untuk penyembuhan seseorang daripada sakit.

Angin juga boleh disifatkan sebagai “semangat”. Semangat ini tidak boleh diukur.

Duan yang memang hidup matinya bersama makyung dan seni, semangatnya berbeza dengan orang lain. Dia cedera di bahagian perut pun, masih hidup dan boleh bermain makyung.

Rakan saya tergelak di dalam panggung ketika menonton babak ini dan menyatakan itulah adegan paling tidak masuk akal. Saya persoalkan kembali, “Akal siapa? Akal kau atau akal dia?”

Inilah yang perlu dilengkapkan – sisi makyung perlu diketengahkan oleh Sabri Yunus dalam filem ini dengan lebih rinci.

Filem ini sepatutnya tidak boleh dibuat sejam setengah melainkan sekurang-kurangnya dua jam untuk memasukkan penerangan Angin (secara visual) dalam makyung.

Dari awal, Duan sanggup bermatian dengan seni makyungnya – sehingga tercetus sikit beberapa adegan yang hampir berbaur perkauman – mesti ada sebab dan ia mesti diterangkan.

Tak ada orang waras tiba-tiba nak pertahankan seni tradisional dengan nyawanya. Paling tidak, sutradara perlu menerangkan kenapa makyung memberi kesan besar dalam kehidupan Duan.

Kalau tidak, inilah jadinya, rakan saya melihat makyung dalam Duan Nago Bogho seperti tempelan seni tradisional yang sebenarnya boleh diganti dengan apa-apa yang diminatinya.

Pauline berkata dalam kertas yang sama; konsep Angin dalam pandangan orang Kelantan mendedahkan pemahaman yang rumit tentang keperluan, emosi, keinginan dan kekecewaan manusia.

Emosi Duan terganggu oleh “orang luar” (Fendi Bukit Bintang) yang mencabar seorang perempuan yang kebetulan membuat kajian tentang makyung (Nancy lakonan Jojo Goh). Emosi inilah yang berkembang baik bermula daripada establishment sehingga akhir tadi.

Penonton susah memahaminya kerana menganggap makyung adalah tempelan. Ia secara tidak langsung menjadikan logline filem berubah kepada “Kisah Duan yang meminati Makyung kebetulan berjumpa dengan Nancy (yang mengkaji Makyung) yang dicari oleh Fendi Bukit Bintang”.

Perkataan “kebetulan” saya gunakan di situ kerana penonton boleh jadi tak tahu Angin apa yang menguasai Duan dalam keseluruhan filem ini.

Makyung sendiri ada unsur ritual dan mistik. Tidak salah rasanya sutradara bubuh sedikit perencah mistik itu, bukan untuk mewujudkan deus ex machina, tetapi menerangkan lagi bagaimana fungsi makyung dan menanamkan pemahaman kepada para penonton.

Secara gambaran besar, watak Peran Muda dan Angin Duan dalam filem ini secara tidak langsung sebenarnya manifestasi watak Duan dalam Duan Nago Bogho di dalam wayang. Perwatakannya sama, hanya mediumnya berbeza. – 26 Januari, 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen