Seorang maut, 2 cedera gempa bumi di Nepal


Pusat gempa 5.6 magnitud itu berada di daerah Bajura, 400 kilometer ke barat Kathmandu, menurut Kajian Geologi AS. – Gambar US Geological Survey, 24 Januari, 2023.

SEORANG terbunuh dan dua cedera selepas gempa bumi melanda barat Nepal pada Selasa, seorang pegawai tempatan memberitahu AFP, dengan pihak berkuasa masih mengenal pasti tahap kerosakan.

Pusat gempa 5.6 magnitud itu berada di daerah Bajura, 400 kilometer ke barat Kathmandu, menurut Kajian Geologi AS.

Gegaran melanda sekitar jam 2.43 petang waktu tempatan dengan gegaran dirasai sejauh ibu kota India, New Delhi, yang mana bangunan bergegar seketika.

Seorang wanita dilaporkan maut, dua orang cedera dan sehingga 40 rumah rosak, kata ketua daerah Pushkar Khadka kepada AFP.

“Disebabkan kawasan kami amat terpencil menyukarkan untuk mendapatkan maklumat penuh. Kami berharap untuk menilai semua kerosakan dan kemalangan jiwa menjelang esok,” kata Khadka.

Pusat pemantauan dan penyelidikan gempa kebangsaan Nepal melaporkan magnitud gempa itu setinggi 5.9.

Pada November, enam orang maut apabila satu lagi gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda daerah Doti di barat Nepal.

Pada April 2015, hampir 9,000 orang maut apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda negara itu, memusnahkan lebih setengah juta rumah. – AFP, 24 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen