DUA individu maut dan seorang lagi cedera parah pada Isnin dalam satu kejadian tembakan di pusat belia di Des Moines, Iowa, kata polis.
Polis menerima laporan tembakan di Starts Right Here, yang menjalankan program untuk remaja berisiko, dan mendapati tiga cedera dengan dua daripadanya kritikal.
“Kedua-dua pelajar meninggal dunia di hospital. Mangsa ketiga, yang merupakan pekerja sekolah, dalam keadaan serius,” kata Paul Parizek, jurucakap jabatan polis Des Moines.
Beliau tidak mengetahui umur mangsa yang meninggal dunia.
“Saya tidak tahu sama ada mereka dewasa atau remaja atau remaja bawah umur,” kata Parizek.
Hasil keterangan saksi, polis kemudiannya menahan sebuah kereta dan menangkap tiga individu yang disyaki suspek kejadian tembakan itu bagi siasatan.
Tembakan itu berlaku selepas pembunuhan beramai-ramai pada malam Sabtu di selatan California yang menyaksikan 11 orang maut ditembak di dewan tarian oleh seorang pendatang Asia berusia 72 tahun yang kemudian membunuh diri ketika polis tiba. – AFP, 24 Januari, 2023.
Komen