6 terkorban puting beliung di AS


Kejadian puting beliung di Madison County, AS yang sempat dirakam MN Safety dan dimuat naik dalam akaun Twitter. – Gambar Twitter, 6 Mac, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA empat dewasa dan dua kanak-kanak terkorban apabila puting beliung melanda Madison County di negeri Iowa, Amerika Syarikat pada Sabtu, menurut pegawai.

Empat orang dewasa lagi cedera dalam taufan yang menyebabkan “kerosakan meluas terhadap rumah dan harta benda,” kata pengarah pengurusan kecemasan daerah itu pada sidang akhbar.

“Ini, saya rasa, yang paling teruk pernah dilihat oleh sesiapa pun dalam masa yang agak lama,” kata Diogenes Ayala. “Ini akan memberi kesan untuk beberapa tahun akan datang.”

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Des Moines menerusi ciapan di Twitter pada jam 7.30 malam (0130 GMT Ahad) bahawa “yang paling teruk sudah berakhir di tengah Iowa.”

Ribut kencang juga menyebabkan lebih 10,500 penduduk Des Moines terkesan apabila bekalan elektrik terputus.

Gabenor Iowa Kim Reynolds mengeluarkan pengisytiharan bencana untuk Madison County, yang membenarkan sumber negeri digunakan untuk membantu pemulihan.

“Kami berdukacita terhadap semua yang terjejas oleh ribut kencang yang melanda negeri kami hari ini,” kata Reynolds dalam satu kenyataan.

Pada Disember, berpuluh-puluh puting beliung yang dahsyat melanda lima negeri AS semalaman, menyebabkan sekurang-kurangnya 79 orang terkorban di Kentucky dengan kematian turut direkodkan di Tennessee, Arkansas, Missouri dan Illinois. – AFP, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen