Mindef laksana tender terbuka, batal 5 perolehan terdahulu


Tindakan Mindef membatalkan lima perolehan susulan pelaksanaan tender terbuka bagi keperluan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya. – Gambar Twitter, 19 Januari 2023.

KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) membatalkan lima perolehan membabitkan bekalan, perkhidmatan dan projek infrastruktur sebagai langkah bagi mengelak berlaku ketirisan dalam perbelanjaan terhadap proses itu.

Mindef dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berikutan kementerian itu melaksanakan perolehan aset secara tender terbuka bagi keperluan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya.

“Ia selaras dengan dasar kerajaan masa ini yang mengutamakan ketelusan dan nilai untuk wang.

“Mindef juga mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai ketirisan perbelanjaan ketika Majlis Dialog Belanjawan Negara 2023 pada Selasa lepas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut sebarang ketirisan dan salah laku sepanjang perolehan adalah sesuatu yang tidak akan dikompromi dengan pihak yang melakukan salah laku demi kepentingan peribadi.

“Mindef juga tidak akan teragak-agak untuk melaporkan sebarang ketirisan dan ketidaktelusan terhadap proses perolehan kepada pihak berkuasa,” katanya. – Bernama, 19 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen