Lonjakan KDNK China bukti kedinamikan ekonominya


Kadar pertumbuhan tiga peratus KDNK China disifatkan sebagai agak pantas yang secara tidak langsung mencerminkan daya tahan dan kedinamikan ekonomi republik komunis itu. – Gambar EPA, 19 Januari, 2023.

EKONOMI China mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak tiga peratus pada 2022 meskipun berhadapan dengan tekanan susulan wujudnya ketidaktentuan global, kemelesetan ekonomi sejagat dan penularan wabak Covid-19.

Data terkini Biro Statistik Negara (NBS) menunjukkan agregat ekonomi China sekali lagi menyaksikan lonjakan pada tahun lalu dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 120 trilion yuan (RM76.7 trilion).

Prestasi itu mencapai paras baharu selepas KDNK negara ini melebihi paras 100 trilion yuan (RM63.9 trilion) dan 110 trilion yuan (RM70.3 trilion) yang masing-masing direkod pada 2020 dan 2021.

Jika dibandingkan dengan ekonomi utama di dunia pula, kadar pertumbuhan tiga peratus itu disifatkan sebagai agak pantas yang secara tidak langsung mencerminkan daya tahan dan kedinamikan ekonomi China.

Menurut NBS, operasi ekonomi China pada keseluruhannya kekal mapan pada 2022, didukung oleh kestabilan pekerjaan dan harga barang serta pelaksanaan strategi pembangunan dipacu inovasi.

Ditambah dengan kelonggaran sekatan Covid-19, kedinamikan ekonomi negara Tembok Besar ini semakin menonjol, menyaksikan penerbangan domestik pulih kepada 80 peratus daripada tahap yang dicatat pada 2019.

Ekonomi China diyakini mampu menunjukkan pemulihan yang menggalakkan pada tahun ini, didorong oleh beberapa faktor utama antaranya pasaran yang berskala agak besar, manfaat daripada pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka serta pengalaman dalam kawalan makro. – Bernama, 19 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen