Kenapa dunia makin panas


Hishamuddin Rais

ALBERT Einstein (1879-1955), ahli  fizik German yang menemui teori relativiti pernah berkata: Jika kamu tak dapat menerangkan perkara itu kepada anak berumur enam tahun, ini bermakna kamu tak faham perkara itu.

Saya sendiri sedang cuba menerangkan kepada pembaca apa dia pemanasan dunia, kenapa dunia sekarang  makin panas dan apa akan jadi seterusnya.

Sambil menerangkan, sambil membaca dan sambil saya belajar. Saya anggap saya sendiri anak berumur enam tahun yang mahu tahu kenapa dunia semakin panas. Amin.

Saya ada membaca berita laporan lembaga angkasa Amerika: NASA (National Aeronautic Space Administration) pada 13 Januari 2023. Berita melaporkan 5 tahun kebelakangan ini dunia semakin panas. Semenjak tahun 2015 suhu dunia telah naik 1.6 darjah Fahrenheit berbanding dari suhu pada tahun-tahun 1961 hingga 1980.

“Trend pemanasan ini membimbangkan,” kata pentadbir NASA Bill Nelson. “Iklim pemanasan kita sudah menunjukkan tanda: Kebakaran hutan semakin memuncak; taufan semakin kuat; kemarau mendatangkan malapetaka dan paras air laut meningkat. NASA sedang memperdalam komitmen  untuk membantu manusia menghadapi perubahan iklim planet kita.”

Saya sendiri telah lama bimbang.

Saya tidak perlu melihat data kajian NASA. Saya anak Jelebu – daerah yang paling kering di Malaysia.  Lawan Jelebu ialah Taiping - daerah paling basah di Malaysia.

Kebelakangan  ini hujan kerap turun di Jelebu  dan banjir selalu sampai. Dari segi fakta kaji cuaca, banjir besar di Jelebu pernah berlaku sekali pada  tahun 1970. Tapi lima tahun kebelakangan ini hampir setiap tahun ada hujan lebat dan banjir.

Malah saya sendiri terperanjat apabila melihat perahu dan sampan  tersusun di Pejabat Daerah Kuala Klawang. Lembaga APM (Angkatan Pertahanan Awam ) telah siap siaga untuk menghadapi bencana alam. Ini satu fenomena yang baru berlaku.

Suhu bumi kita telah naik 1.7 darjah Fahrenheit  dari 57 darjah semenjak 1880. Air laut telah bertambah 7 inci semenjak 1880. Ini kerana suhu panas telah mencairkan salji di Kutub Utara.

Dunia jadi panas kerana bumi kita dibungkus oleh wap dan gas. Wap dan gas CO2 karbon dioksida, gas ozone dan gas methane telah memerangkap cahaya mata hari. Terperangkap cahaya matahari menimbulkan bahang.

Apabila bahang wujud ini menjadikan bumi bertambah panas. Apabila bumi panas maka air laut,  air tasik, air sungai  disedut ke langit jadi wap. Wap ini nak ke langit akan menjadi  sejuk dan gugur menjadi hujan lebat.

Justeru Jelebu dilanda banjir. Amin.

Pada satu ketika dahulu – berbilion tahun dahulu – cuaca dunia ini seimbang. Cahaya matahari bersinar tapi tidak ada apa  yang memerangkap atau terperangkap. Pada ketika itu gas karbon CO2 , ozone dan methane ada tapi tidak membawa bencana.

Bumi kita ketika itu dalam suasana Goldilocks. Macam semangkuk susu Anak Beruang yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk untuk dinikmati oleh Goldilocks.

Pakar kaji cuaca telah menunjukkan 16 dari 17 suhu terpanas dalam dunia ini telah berlaku dalam tahun 2000.

Kaji selidik dan pandangan 12,000 kajian pakar kaji cuaca telah hampir bersetuju. Seramai  97% pakar kaji cuaca bersetuju bahawa pemanasan muka bumi ini betul sedang berlaku.

Ini kerana masih ada kumpulan yang menafikan wujudnya pemanasan dunia. Ada beberapa ahli sains dan pakar cuaca termasuk Donald Trump yang menafikan cuaca dunia semakin panas dan penyebab utama ialah umat manusia sendiri.

Bekas presiden Amerika ini menuduh sesiapa yang menimbulkan agenda pemanasan global ini sebagai hoaxters atau  penipu.

Sah terbukti bumi kita makin panas kerana bahang karbon CO2, methane dan ozone sedang terperangkap di atmosfera. Ini bukan ‘hoax - tipu’ tapi hasil kajian pakar cuaca dan alam sekitar.

Dari dulu lagi gas-gas ini telah ada di atmosfera dan menjadi pelindung bumi ini daripada panahan cahaya mata hari yang berlebihan-lebihan. Lapisan gas-gas ini  melindungi kita umat manusia daripada terkena panahan Ultra Voilet Ray (UV). Cahaya UV ini bahaya, menjadikan kulit terbakar dan membawa penyakit barah kulit.

Justeru, dari mana bertambahnya karbon CO2 dan methane ini datang.

Gas-gas ini datang dari pembakaran tenaga fosil. Tenaga fosil yang terkumpul dalam perut bumi ini dalam bentuk bahan bakar petrol dan arang batu.

Justeru membakar petrol dan membakar arang batu adalah punca utama yang menjadikan dunia kita semakin panas. Amin.

Fakta inilah yang telah dipersetujui oleh semua pakar kaji cuaca dan alam sekitar.

Dari kajian telah didapati suhu bumi naik 0.14 darjah Fahrenheit berlaku setiap  satu dekad semenjak tahun 1880. Tapi kenaikan suhu  berganda 0.32 Fahrenheit semenjak 1981. Justeru menjadikan tahun  2021 sebagai tahun terpanas semenjak rekod suhu dirakam.

Tahun 1880 menjadi tangga patokan kerana tahun ini adalah permulaan suhu di rakam. Tahun 1880-an adalah juga permulaan Revolusi Industri. Ketika ini manusia mula berperanan dalam perubahan cuaca alam semesta ini.

Bumi kita ini tidak pernah bebas dari lambakan karbon dioksida atau CO2. Jutaan tahun dahulu muntahan ledakan gunung berapi mengeluarkan CO2. Tetapi gas ini hilang disedut masuk ke dalam perut lautan.

Bukti dari bahan sejarah telah menunjukkan suhu bumi kita ini ada turun naik sebanyak 0.2 darjah Fahrenheit selama 1,000 tahun yang lalu.

Hari ini yang menyebabkan bumi makin panas bukan ledakan gunung berapi tapi perbuatan manusia membakar tenaga fosil. Pembakaran inilah yang menambah CO2 ke dalam atmosfera kita. Amin.

Kita membakar arang batu, gas dan minyak  untuk menjana kuasa elektrik. Apabila tenaga fosil ini terbakar yang terkeluar sama ialah CO2.

Hampir 93% tenaga elektrik di Semenanjung Tanah Melayu dijana menggunakan arang batu dan gas asli. Statistik daripada suruhanjaya tenaga menunjukkan bahawa terdapat 47 stesen janakuasa di Semenanjung: enam loji janakuasa arang batu, 14 loji tenaga solar berskala besar, 16 loji janakuasa turbin gas dan 11 loji kuasa hidro.

Contohnya di Manjung dan Tanjung Bin arang batu dibakar. Di Peka gas dibakar. Di Chenderoh dan Ulu Jelai elektrik datang dari tenaga air. Di Sepang, Rembau dan Jasin ada penjana kuasa dari solar atau matahari.

Jangan lupa konsep ‘carbon foot-print – jejak karbon’.  Ini ukuran kita secara peribadi dan individu yang mengeluarkan gas CO2.

Mat Rempit naik motosikal membakar minyak petrol. Kita memandu kereta menggunakan minyak petrol. Kita naik  pesawat kapal terbang  juga membakar minyak petrol.

Semua kilang industri memerlukan tenaga elektrik untuk bergerak. Semua bangunan  rumah, rumah kedai, pasar raya pusat membeli belah dan bangunan pejabat memerlukan tenaga elektrik.

Hakikatnya kehidupan moden ini tidak akan dapat lari dari menggunakan tenaga elektrik hasil pembakaran fosil. Penggunaan tenaga elektrik ini  akan  menghasilkan gas CO2.

Penambahan mendadak gas CO2 di atmosfera adalah hasil perbuatan umat manusia. Inilah yang menjadi punca pemanasan bumi kita ini.

Apakah kita umat manusia juga, seperti gas ozone, gas methane dan CO2, telah terperangkap? Apakah kita tidak ada jalan keluar?

Maka timbullah cadangan-cadangan yang juga wajib saya paparkan. Walaupun saya tidak percaya cadangan yang saya tulis ini akan dapat menyelesaikan masalah pemanasan dunia secara tuntas.

Tetapi secara individu kita wajib sama bertanggung jawab untuk mencari jalan keluar dari perangkap CO2 ini.

Disarankan agar kita menukar mentol lampu  dan gantikan dengan lampu fluorescent. Kita kurangkan memandu dan tidak membakar petrol. Amalkan budaya kitar semula. Kurangkan mandi air panas. Elakkan kan menggunakan pembungkus plastik. Dan tanam banyak pokok-pokok. Amin.

Secara individu – secara peribadi – kita boleh melakukan semua ini. Ia akan menyedapkan hati kita. Kita merasa kita telah sama-sama melakukan sesuatu untuk  menyelesaikan masalah pemanasan bumi kita ini.

Tetapi pemanasan dunia tetap berlaku.

Ini kerana punca utama CO2 ini muncul dari pembakaran tenaga fosil. Tenaga  fosil ini adalah kunci hidup moden.

Berhenti sebentar. Hidup moden ini bagaimana? Bila kita di Tanah Melayu ini mula hidup moden?

Perubahan suhu bumi bermula pada tahun 1880 ketika Revolusi Industri mula berlaku di Liverpool dan Manchester. Ketika itu kita di Tanah Melayu belum mengenal arang batu. Jauh sekali ada janakuasa  elektrik.

Di Tanah Melayu pada tahun 1880 belum ada industri. Malah perkataan industri dan kilang belum wujud dalam kamus perbualan Bani Melayu.

Biji getah diseludup dari Brazil oleh Henry Nicholas Ridley (1855-1956) pada tahun 1888.  Sosok ini pengarah Taman Botani di Singapura. Pokok getah  pertama ditanam pada tahun 1877 di Kuala Kangsar. Industri getah  belum muncul lagi. Estet getah pertama di Melaka hanya bermula pada tahun 1903.

Tidak ada arang batu, gas atau minyak petrol digunakan secara meluas ketika kita dijajah. Tenaga manusia masih sumber utama. Getah dikeringkan dengan menjemur atau diasapi.

Saya warga Jelebu; hingga ke tahun 1974, orang kampung saya masih menggunakan lampu pelita. Tidak menggunakan  air panas. Kami mandi air perigi. Pada tahun 1930-an Nenek  dan Datuk saya menggunakan api damar. Kami memasak memakai  dapur kayu. Konsep gas dan minyak petrol tidak pernah muncul.

Justeru saya berpendapat – kita di  Tanah Melayu dan Malaysia sekarang ini tidak bertanggung jawab ke atas pemanasan dunia.

Ini kerana kita di Tanah Melayu tidak terlibat dalam Revolusi Industri Pertama pada tahun 1880. Kita belum moden lagi.

Kalau kita tidak terlibat siapa yang terlibat? Bagaimana dengan sekarang – apakah kita belum moden lagi?

Tunggu pencerahan. Amin. – 17 Januari, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen