Jualan arak di pusat beli-belah: Antara tugas legislatif dan eksekutif


Ruhan Shahrir

Tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan meminta supaya promosi jualan minuman beralkohol tidak dilakukan secara terbuka di sebuah pusat membeli belah di Perai Pulau Pinang mencetuskan keresahan dalam kalangan komuniti bukan Muslim. – Gambar EPA, 14 Januari, 2023.

AHLI Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mencetuskan suatu suasana yang cukup tidak enak buat kehidupan bermasyarakat di sebuah negara yang berbilang etnik dan agama seperti Malaysia, baru-baru ini. 

Mungkin beliau keliru mengenai tugas beliau sebagai seorang anggota legislatif Dewan Rakyat. Ini tentunya boleh difahami kerana beliau baru pertama kali memegang jawatan sebagai anggota parlimen. 

Beliau kelihatannya tidak dapat membezakan antara tugas legislatif dengan tugas eksekutif atau penguatkuasaan. 

Dalam sistem pentadbiran Malaysia, doktrin pemisahan kuasa menetapkan tugas anggota parlimen atau anggota dewan undangan negeri sebahagiannya adalah untuk menggubal undang-undang menerusi perbahasan dan pengundian di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. 

Manakala tugas penguatkuasaan undang-undang yang telah digubal dan diluluskan itu adalah bawah kuasa eksekutif atau lembaga-lembaga yang membentuk kerajaan sama ada di tingkat persekutuan atau pun negeri.

Apa yang dilakukan oleh Muhammad Fawwaz bertentangan dengan intipati doktrin pemisahan kuasa yang menjadi teras kepada pemerintahan negara. 

Tindakan beliau yang meminta (atau mendesak?) supaya promosi jualan minuman beralkohol tidak dilakukan secara terbuka di sebuah pusat membeli belah di Perai Pulau Pinang, sebaliknya dibuat secara tertutup, adalah suatu tindakan yang bukan hanya mencetuskan keresahan dalam kalangan komuniti bukan Muslim tetapi juga melanggar batas undang-undang negara.

Salah satu daripada lima prinsip yang terkandung di dalam rukun negara adalah keluhuran undang-undang. 

Dengan kata lain Malaysia adalah sebuah negara hukum. Semua warganya termasuklah anggota parlimen atau dewan undangan negeri tertakluk kepada aturan hukum yang telah dipersetujui menerusi penggubalan undang-undang yang dibuat. 

Meminta (atau mendesak?) komuniti bukan Muslim untuk tidak menjual minuman beralkohol sama ada di ketika mereka akan merayakan perayaan budaya mereka tidak lama lagi atau pada waktu-waktu lain sekali pun hanya kerana adanya rungutan daripada sebahagian komuniti Muslim setempat bukanlah tugas seorang anggota legislatif. 

Tindakan beliau itu seolah-olah satu cubaan untuk mengambil alih bidang kuasa lembaga penguatkuasaan. 

Ini tentunya bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa yang diamalkan selama ini di dalam sistem bernegara kita.

Beliau tentunya boleh sahaja tidak bersetuju dengan penjualan arak secara terbuka tetapi bukan dengan cara cuba untuk menguatkuasakan sesuatu yang di luar bidang kuasa beliau sebagai anggota parlimen. 

Cara yang lebih mengikut aturan undang-undang ialah dengan membawa rungutan sebahagian daripada anggota konstituensi beliau itu ke parlimen untuk diusulkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat. 

Jika Parlimen kemudiannya menggubal satu undang-undang yang melarang penjualan arak secara terbuka di pusat membeli belah, maka pada ketika itu barulah beliau bukan hanya boleh meminta tetapi juga menuntut supaya lembaga penguatkuasaan bertindak menghalang perkara yang menyalahi undang-undang tersebut daripada terus dilakukan. 

Sekali lagi tugas untuk menguatkuasakan undang-undang yang digubal supaya dipatuhi oleh warganya, tetap tugas lembaga penguatkuasaan bukan tugas Muhammad Fawwaz sebagai anggota legislatif.

Selagi tidak ada undang-undang yang memperuntukkannya beliau tidak boleh mengambil tindakan secara sewenang-wenangnya meminta (atau mendesak?) sebuah syarikat perniagaan untuk memasarkan produk mereka dengan cara yang mereka fikirkan strategik, hanya kerana terdapatnya rungutan sebahagian daripada anggota konstituensi parlimen beliau.

Jika tindakan Muhammad Fawwaz ini dijadikan duluan (precedent) atau ikutan anggota-anggota Parlimen lain, baik yang Muslim mahu pun yang bukan Muslim, negara kita yang selama ini masyarakatnya hidup dalam suasana toleransi yang tinggi akan menjadi kacau-bilau, kucar-kacir, tegang dan resah.

Bagaimana pula nanti jika sekiranya ada anggota Parlimen bukan Muslim yang memasuki pusat membeli belah dan meminta atau mendesak supaya promosi jualan daging lembu dilakukan secara tertutup kerana terdapat rungutan sebahagian daripada anggota konstituensi beliau yang tersinggung dengan jualan tersebut?

Ini pastinya juga akan menimbulkan keresahan dan ketegangan di dalam hubungan antara etnik dan agama di dalam negara yang majmuk seperti Malaysia. 

Muhammad Fawwaz tentunya tidak pernah menyarung baju minoriti dan sentiasa berada di dalam baju majoriti, sehinggakan beliau tidak dapat merasakan apa yang minoriti rasakan apabila terdapatnya tindakan sewenang-wenang yang dilakukan oleh majoriti untuk menghalang minoriti daripada melakukan perkara yang tidak disekat oleh undang-undang pun.

Demokrasi bukanlah kesewenang-wenangan majoriti ke atas minoriti. Demokrasi berpaksikan kepada aturan hukum dan keluhuran undang-undang. 

Kecualilah Muhammad Fawwaz sendiri menolak demokrasi yang menempatkan diri beliau sebagai salah seorang anggota parlimen Malaysia. – 14 Januari, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen