Dengar pendapat pakar tanpa abai pandangan rakyat biasa, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Forum Kepimpinan CTCorp di Jakarta hari ini. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2023.

CABARAN di peringkat pucuk pimpinan ialah memastikan input pakar diambil kira dalam merangka sesuatu dasar namun pada masa yang sama, mereka tidak boleh mengabaikan pandangan rakyat biasa, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pemimpin harus terus belajar daripada pemerhatian dan pengalaman mereka selain mendengar pendapat pakar serta pandangan rakyat biasa.

“Ada hal yang kita tidak boleh dengar daripada pakar namun kita boleh dengar daripada rakyat,” katanya pada syarahan umum di Forum Kepimpinan CTCorp di Jakarta hari ini.

Anwar, yang dikenali sebagai tokoh perubahan di Indonesia, berkata beliau tidak cenderung semata-mata terhadap angka dan statistik kerana pendekatan manusiawi dengan akademik adalah berbeza.

“Berapa angka kemiskinan? Oh, kemiskinan tegar tinggal 15%, bunyinya indah tapi kalau kamu atau keluarga kamu terbilang dalam itu, kamu tidak bicara begitu,” katanya.

Memetik T.S. Elliot, beliau berkata: “Satu-satunya kebijaksanaan yang kita boleh harapkan ialah kerendahan hati kerana ia tidak berpenghujung.”

Justeru, Anwar berkata kerendahan hati adalah penting untuk pemimpin dalam membuat keputusan dan merangka dasar namun menegaskan tidak sepatutnya wujud barbarisme pengkhususan.

“Saya mengingatkan menteri pendidikan yang masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan kita untuk menimba ilmu dan memahami pengkhususan namun ia tidak boleh mengorbankan kemanusiaan, belas ihsan dan prinsip keadilan,” katanya.

Menyentuh masalah ekonomi, beliau berkata pemimpin, ahli perniagaan serta konglomerat bertanggungjawab memanfaatkan waktu dan kebijaksanaan dengan maksimum untuk memperbaiki keadaan.

Anwar berkata kemelut ekonomi yang melanda dengan suasana global tidak menentu belum ada kepastian penyelesaiannya selepas Covid-19.

“Tapi saya tidak mewakili pandangan pesimistik dalam politik ataupun ekonomi. Saya mampu bertahan (sebab optimis), kalau tidak sudah pengsan lama dalam penjara. Meskipun berdepan masa paling sukar dalam penjara, saya tetap optimis,” katanya.

Beliau turut menyeru syarikat di kedua-dua negara untuk meneroka bidang baharu seperti ekonomi digital dan kecerdasan buatan dengan lebih pesat.

“Kalau ketinggalan maka seluruh generasi akan ketinggalan. Malaysia, kerana kecelaruan politik yang tidak berkesudahan untuk beberapa tahun ini, hal-hal ini tidak menjadi fokus,” katanya.

Menyentuh hala tuju Malaysia di bawah kepimpinannya semasa sesi soal jawab, Anwar berkata beliau mahu dikenali sebagai tokoh yang berusaha membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan ikhlas membela nasib rakyat.

“Sekurang-kurangnya lelaki ini cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dia mungkin berjaya sehingga satu tahap dan mungkin juga tidak berjaya. Secara keseluruhan, saya pasti saya tidak dapat melakukannya namun sekurang-kurangnya ada pengiktirafan yang lelaki ini mencuba sedaya upaya,” katanya. – Bernama, 9 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen