PRESIDEN Sri Lanka Maithripala Sirisena hari ini mengumumkan siasatan terhadap rusuhan anti-Islam di Sri Lanka sehingga pihak berkuasa terpaksa mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Panel yang terdiri daripada tiga hakim bersara akan menyiasat salah laku undang-undang yang berlau di Kandy, kata pejabat Sirisena dalam satu kenyataan.
Tiga orang terkorban, 20 orang cedera dan lebih 200 perniagaan milik orang Islam serta rumah telah dimusnahkan dalam rusuhan yang berlangsung selama empat hari itu.
11 masjid mengalami kerosakan atau sepenuhnya dimusnahkan oleh perusuh Sinhalese, menurut polis yang mendakwa keadaan telah berjaya dikawal selepas pasukan tentera dikerahkan.
Perintah berkurung di wilayah itu telah ditarik kembali hari ini namun tentera masih ada mengawal bersama polis, kata pegawai.
Orang Islam Sri Lanka mengadakan sembahyang Jumaat sambil dikawal oleh pihak tentera. Bagaimanapun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini pada hari itu.
Semalam beratus sami Buddha dan aktivis Sri Lanka mengadakan demonstrasi mengutuk rusuhan oleh golongan anti-Islam yang meragut nyawa tiga orang sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan darurat di seluruh negara itu.
Polis berkata, dalang rusuhan itu telah ditahan pada Khamis bersama 145 lain. Dalang itu dikenali sebagai Amith Weerasinghe, dari golongan Sinhalese yang terkenal sebagai aktivis anti-Islam dan ekstremis media sosial.
Pada Khamis, kerajaan mengisytiharkan darurat di seluruh negara selepas rusuhan anti-Islam berlaku menyebabkan dua maut dan lebih 100 rumah dan kedai terbakar di kawasan peranginan pergunungan popular di Kandy. – AFP, 10 Mac, 2018.
Komen