BERATUS sami Buddha dan aktivis Sri Lanka hari ini mengadakan demonstrasi mengutuk rusuhan oleh golongan anti-Islam yang meragut nyawa tiga orang sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan darurat di seluruh negara itu.
The National Bhikku Front berkata, mereka mengadakan protes senyap itu terhadap apa yang digelar mereka sebagai “perbalahan masyarakat yang akan menghancurkan perpaduan negara.”
Pemimpin Buddha sederhana turut mengutuk rusuhan itu yang tertumpu di tengah bandar Kandy, 115 kilometer dari timur Colombo.
Pengguna media sosial Sri Lanka juga turut memuat naik gambar sami Buddha melawat masjid ketika sembahyang Jumaat sebagai tanda setiakawan.
Pada Khamis, kumpulan masyarakat sivil Islam dan Sinhalese telah mengadakan protes bersama di Colombo menyeru tindakan keras diadakan terhadap dalang rusuhan anti-Islam itu.
Siri keganasan bermula pada Isnin lalu apabila seorang lelaki Sinhalese mati selepas cedera diserang oleh empat lelaki Islam minggu lalu. Ketegangan bertambah apabila mayat seorang Islam dijumpai dipercayai dibakar di sebuah bangunan di Kandy pada Selasa.
Dikatakan geng Sinhalese telah membakar masjid dan perniagaan orang Islam, selain rumah dan juga kenderaan di sekitar Kandy serta lain-lain tempat.
Justeru kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung, manakala pasukan tentera dikerah membantu pasukan polis.
Polis berkata, dalang rusuhan itu telah ditahan pada Khamis bersama 145 lain. Dalang itu dikenali sebagai Amith Weerasinghe, dari golongan Sinhalese yang terkenal sebagai aktivis anti-Islam dan ekstremis media sosial.
Kumpulan sami radikal pula berhadapan dengan tuduhan kerana turut serta dalam rusuhan ganas pada 2014 yang mengakibatkan empat orang mati. – AFP, 9 Mac, 2018.
Komen