Pensyarah universiti rugi RM1.3 juta diperdaya Macau Scam


SEORANG pensyarah universiti di Iskandar Puteri kerugian RM1.3 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata wanita berusia 41 tahun itu mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata individu itu mendakwa mangsa terlibat dengan pemalsuan laporan Covid-19 di Sabah sebelum menyambung panggilan telefon tersebut kepada pegawai polis di Sabah yang kemudian menyatakan pensyarah berkenaan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

“Selepas mangsa menafikan dakwaan itu dia diarahkan inspektor terbabit untuk membuka akaun bank baharu dan menyerahkan kata laluan serta mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh inspektor itu bagi penerimaan TAC.

“Mangsa memindahkan wang tersebut antara 17 Oktober 2022 hingga 25 November 2022 selepas diarahkan kononnya bagi memastikan simpanannya selamat sementara menunggu kes mangsa disiasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru hari ini.

Kamarul Zaman berkata mangsa menyedari ditipu selepas semua wang daripada akaun baharu dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali pada awal bulan ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau berkata turut memaklumkan menahan enam lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita asing berusia lingkungan 27 hingga 68 tahun yang dipercayai ahli sindiket along di Kuala Lumpur, Rabu lepas.

Katanya siasatan awal mendapati mereka menerima upah RM800 bagi melakukan perbuatan khianat menggunakan api dan menyimbah cat terhadap rumah atau kenderaan mangsa dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook selain menyasarkan pekerja Malaysia di Singapura.

Kesemuanya direman selama enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427, 435 dan 436 Kanun Keseksaan.

Kamarul Zaman juga berkata sepanjang 2022, sebanyak 232 kertas siasatan dibuka melibatkan sindiket along dengan 106 daripadanya adalah kes simbah cat, khianat api (114), ugutan (10) dan pemerasan (dua).

“Daripada 232 kes, sebanyak 108 kes adalah melibatkan pinjaman warga Malaysia di Singapura. Seramai 43 individu ditahan dengan 33 berjaya dituduh di mahkamah dan satu tangkapan diambil tindakan di bawah  Akta Pencegahan Jenayah,” katanya. – Bernama, 8 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen