Lebih 10 pemimpin kanan Pejuang letak jawatan, kata sumber


Mohd Farhan Darwis

Tindakan lebih 10 pimpinan tertinggi Pejuang letak jawatan dikatakan ada kaitan dengan cadangan untuk ia sokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2023.

LEBIH 10 pimpinan tertinggi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meletakkan jawatan sebagai memprotes hala tuju parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata beberapa sumber dalaman parti.

Seorang sumber memberitahu mereka yang letak jawatan terdiri daripada 13 anggota Majlis Eksekutif Pusat (MEP) termasuk Timbalan Presiden Marzuki Yahya, menjadikan 16 orang semuanya yang letak jawatan sejak PRU15.

The Malaysian Insight difahamkan peletakan jawatan mereka ada kaitan dengan cadangan supaya Pejuang, yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad, menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sumber yang bercakap dengan The Malaysian Insight enggan mengesahkan jumlah sebenar pimpinan tertinggi yang letak jawatan serta alasan peletakan jawatan mereka.

Namun seorang sumber berkata mereka yang letak jawatan ini terdiri daripada kelompok profesional yang menyertai Pejuang dan berundur selepas Dr Mahathir letak jawatan pengerusi parti.

“Ada daripada mereka ini apabila Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Pejuang mereka mungkin tidak lagi mahu aktif,” kata sumber ketika dihubungi.

The Malaysian Insight juga difahamkan beberapa ahli MEP Pejuang yang letak jawatan belum memaklumkan hasrat mereka secara rasmi kepada parti tetapi akan berbuat demikian dalam mesyuarat minggu ini.

“Sejak Dr Mahathir letak jawatan (pengerusi Pejuang) belum ada mesyuarat MEP, Khamis ini (dijangka akan) ada mesyuarat… kalau ada mungkin setiausaha agung parti akan maklum.

“Sama ada setiausaha agung sudah terima surat (perletakan jawatan) daripada sesiapa, tidak pasti, yang kita dengar mereka ini (yang letak jawatan) tidak mahu aktif lagi dalam politik,” tambah sumber.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Marzuki tetapi beliau enggan mengulas.

Bagaimanapun pada poster ucapan tahun baharu awal minggu ini, beliau sudah tidak lagi menggunakan jawatan timbalan presiden Pejuang sebaliknya ketua setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA).

GTA adalah gabungan kerjasama Pejuang dengan beberapa parti kecil Melayu lain serta pertubuhan masyarakat semasa PRU15.

Sumber berkata mereka yang letak jawatan dalam Pejuang  terdiri daripada kelompok profesional selepas Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan pengerusi parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2023.

“Sudah hantar surat”

Seorang sumber lain pula memberitahu mereka yang letak jawatan MEP Pejuang sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada setiausaha agung parti pada Disember.

“Ada lagi 13 orang sudah letak jawatan, surat pun sudah hantar cuma presiden tak umum.

“Mereka letak jawatan dipercayai protes kepada presiden kerana cuba nak berunding dengan Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR,” kata sumber ketika dihubungi.

The Malaysian Insight sedang cuba menghubungi Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah untuk pengesahan lanjut.

Pada 17 Disember, Mukhriz mengesahkan Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai pengerusi Pejuang, sehari selepas spekulasi berkenaan perkara itu mula tersebar.

Mukhriz juga memaklumkan bapanya masih kekal sebagai ahli parti.

Dr Mahathir bagaimanapun dilapor kekal memegang jawatan pengerusi GTA.

Selang beberapa hari selepas Dr Mahathir letak jawatan, pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan juga letak jawatan serta mengumumkan beliau hilang keyakinan kepada Mukhriz untuk terus menerajui parti.

Katanya, beliau hilang percaya selepas Mukhriz mencadangkan supaya Pejuang menyertai PH selepas kalah teruk pada PRU15. Cadangan itu dikatakan disebut pada mesyuarat MEP Pejuang pada 15 Disember.

Sebelum itu, The Malaysian Insight difahamkan Pejuang Wilayah dalam mesyuarat pada 7 Disember menolak “sekeras-kerasnya” hasrat Pejuang bergabung dengan PH tetapi menyokong usaha serupa dengan Perikatan Nasional (PN).

Selain Khairuddin, bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya juga letak jawatan ahli MEP pada 18 Disember.

Seminggu sebelum itu, sayap Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin mengumumkan letak jawatan, antaranya bagi mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk parti pada PRU15.

Pada PRU15, GTA kalah semua 125 kerusi Parlimen yang ditandingi sementara semua calonnya juga hilang wang pertaruhan. Pejuang bertanding 67 daripada kerusi itu.

GTA juga menerima nasib sama di Perlis, Perak, dan Pahang – tiga negeri yang mengadakan pilihan raya serentak dengan PRU15. – 4 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen