Ketua Pemuda Pejuang letak jawatan


Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin hari ini mengumumkan letak jawatan, antaranya kerana prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu. – Gambar Facebook, 11 Disember, 2022.

KETUA sayap Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin hari ini mengumumkan letak jawatan, antaranya kerana prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau mengumumkan peletakan jawatannya beberapa hari selepas mengingatkan Pejuang supaya menimbang desakan pemimpin dan ahli akar umbi supaya parti memikirkan semula kerjasama dalam Gerakan Tanah Air (GTA).

“Saya, Dr. Abu Hafiz bin Salleh Hudin, telah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuang Muda Malaysia berkuatkuasa 11hb Disember 2022.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira berbagai pertimbangan termasuk rasa bertanggungjawab atas prestasi Parti Pejuang Tanah Air dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada PRU15, Pejuang bertanding bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) bersama Berjasa, Putra, Iman, dan Gagasan Bangsa.

GTA kalah semua 125 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan calonnya juga hilang wang deposit, termasuk pengerusi gabungan dan Pejuang Dr Mahathir Mohamad. GTA juga kalah semua kerusi negeri yang ditandingi di Perlis, Perak, dan Pahang.

Dalam kenyataan awal pada 7 Disember, Abu Hafiz berkata Pejuang sepatutnya bermunasabah atas prestasi buruk pada PRU15.

Beliau juga menyebut Pejuang seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri Johor, awal tahun ini.

Pada PRN Johor, semua 42 calon Pejuang juga kalah teruk dan hilang deposit.

“Pengalaman dalam PRN Johor awal tahun ini, belum dapat mematangkan Pejuang dalam membuat keputusan dan strategi yang mampu membuahkan hasil.

“Rasa kebertanggungjawaban ini seharusnya dipikul bersama termasuk kepimpinan Pejuang Muda Malaysia,” katanya Rabu lepas.

Dr Mahathir baru-baru ini mengumumkan GTA akan meneruskan usaha untuk mengesahkan pendaftarannya biarpun kalah teruk pada PRU15.

Abu Hafiz, 33, yang baharu dilantik pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu. – 11 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen