Jurulatih tampar pemain remaja sudah mohon maaf, kata Exco Melaka


Insiden tular itu berlaku pada Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 Malaysia di Johor Bahru pertengahan bulan lalu. – Gambar Twitter, 2 Januari, 2023.

JURULATIH bola tampar yang menampar dua atlet remaja pada kejohanan peringkat umur kebangsaan sudah memohon maaf kepada dua gadis dan ibu bapa mereka, kata Exco kerajaan negeri Melaka VP Shanmugam.

Exco pembangunan belia, sukan dan NGO negeri memberitahu Bernama jurulatih bola tampar wanita Bawah 14 tahun Melaka itu bertemu ibu bapa pelajar untuk memohon maaf atas tindakannya sejurus selepas kejadian itu.

Menurut Shanmugam, ia kali pertama Melaka mara ke separuh akhir kejohanan bola tampar remaja B14 Malaysia dan jurulatih itu “sangat teruja” dengan kemajuan pasukannya sebelum tewas tipis kepada Johor.

“Selepas perlawanan itu, jurulatih menjelaskan keadaan kepada pengurusan teknikal, yang turut menegurnya. Susulan kejadian itu, beliau bertemu dua pemain itu dan memohon maaf. Perkara itu diselesaikan pada hari itu juga.

“Jadi, perkara itu sudah selesai dan tidak perlu berlarutan. Jurulatih itu “agak emosi” kerana beliau berasakan pemain itu tidak melakukan apa yang diharapkannya,” kata Shanmugam seperti dipetik Bernama.

Beliau juga berkata akan bertemu jurulatih, pemain, ibu bapa mereka, serta wakil dari kementerian belia dan sukan, majlis sukan negara dan Persatuan Bola Tampar Melaka pada Rabu.

Awal hari ini, Kementerian Pendidikan berkata akan bertemu ibu bapa dua remaja perempuan itu yang ditampar jurulatih bola tampar mereka seperti dilihat dalam video yang tular baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan berkata pihaknya memandang serius perkara itu sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap jurulatih itu jika beliau didapati bersalah.

Dalam klip video yang tular di media sosial, seorang jurulatih dilihat menampar dua pemain wanita semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di Johor bulan lalu, mengundang kemarahan menteri belia dan sukan Hannah Yeoh.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) berkata jurulatih yang didakwa menampar dua pemain remaja wanita itu digantung daripada terbabit dalam semua aktiviti bola tampar negara sehingga siasatan selesai.

Mava juga mengumumkan mereka akan menubuhkan badan penyiasat untuk meneliti kejadian itu dengan segera dan akan menghubungi pihak berkaitan. – 2 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen