Menteri berang jurulatih tampar pemain remaja ketika kejohanan


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian di Johor Bahru bulan lalu. – Gambar tangkap layar Twitter, 1 Januari, 2023.

DAKWAAN seorang jurulatih bola tampar menampar dua pemain wanita remajanya menimbulkan kemarahan Hannah Yeoh.

Menerusi ciapan di Twitter, menteri belia dan sukan itu berkata beliau cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan sudah menghubungi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung perkara itu.

“Ini tidak betul,” kata ahli Parlimen Segambut itu.

Menurut laporan berita, kejadian itu berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar B-14 Kebangsaan 2022 di Johor, yang mana jurulatih Melaka itu dilihat menampar pemainnya semasa perlawanan menentang pasukan tuan rumah.

Kejohanan itu diadakan di SJK (C) Pei Hwa, Johor Bahru dari 14 hingga 16 Disember lalu.

Dalam catatan berasingan di Twitter, bekas menteri belia dan sukan Ahmad Faizal Azumu berkata “tiada ruang dalam sukan atau kehidupan untuk bertindak kasar sebegitu.”

“Pendidikan, kesedaran dan penyeliaan yang berkesan adalah penting untuk memastikan saling hormat menghormati antara atlet, jurulatih dan pentadbir,” katanya dalam ciapan itu. – 1 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen