.jpg)
SEBAGAI wartawan, saya mengenalinya sejak zaman muda. Banyak tindakannya yang bijak dan berani untuk kepentingan Melayu ketika beliau berkhidmat di swasta.
Walaupun beliau dianggap sebagai pelampau dalam perjuangan sebagai aktivis pelajar tetapi Timbalan Perdana Menteri Abdul Razak lebih bersedia untuk menerimanya ke dalam Umno, berbanding Anwar Ibrahim.
Beliau seorang orator yang baik, tidak pernah menjemukan, memukau, penuh humor yang diselang seli dengan cerita menarik dan pemikiran yang lucu tetapi berilmu. Ada kala luar biasa dan funny ideanya yang sukar untuk diterima dan diketawakan tetapi beliau dapat meyakinkan, malah ada yang praktikal. Cadangannya menanam padi atas bumbung ditolak.
Yang paling dikenang ialah kejayaannya menghapuskan kepercayaan tradisi orang Melayu air kelapa melemahkan syahwat lelaki, sebaliknya menurut kajiannya yang diumumkan dalam Perhimpunan Agung Umno, ia boleh menambah kekuatan. Sejak itu perniagaan air kelapa meletup dan melambung di seluruh negara sehingga bekalan kelapa muda tidak mencukupi dan berkembang menjadi perniagaan besar hingga ke hari ini.
Musuh utamanya dalam politik ialah Anwar Ibrahim yang melihat kecerdikan dan kebijaksanaan dan kelicikannya menjadi saingan hebat untuk calon perdana menteri. Maka itu permainan politik menolaknya menjadi Menteri Besar Kedah. Beliau juga memusuhi saya ketika beliau berada dalam kem Anwar.
Berikutan dengan keinsafan Dr Mahathir dalam soal Anwar, beliau kembali menjadi pengikut Dr Mahathir yang setia. Sanusi telah bersama Dr Mahathir hingga ke akhir nafasnya, dalam susah dan dalam senang, ketika tenang dan ketika bergelombang.
Al-Fatihah. Amin. – 9 Mac, 2018.
FOTO-FOTO SEKITAR PENGKEBUMIAN SANUSI JUNID
* Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (1982-1992).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen