DAP hari ini menyelar kenyataan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg semalam sebagai jahil dan tidak faham sistem perundangan negara.
Semalam Abang Johari berkata dua undang-undang persekutuan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA) yang merampas hak negeri terhadap minyak dan gas adalah sama sekali batal dan tidak sah di Sarawak.
“Beliau boleh ulang kenyataannya itu beratus kali. Tetapi, memandangkan dua akta ini tidak dimansuh atau dipinda untuk kecualikan Sarawak, atau diisytihar tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan, kenyataan Abang Jo (Abang Johari) itu jelas kenyataan ’shiok sendiri’,” kata pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
“Di bawah sistem perundangan kita, sebarang undang-undang yang diluluskan di Malaysia dan digazetkan untuk dilaksanakan dikira boleh pakai sehinggalah ianya dimansuh atau Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan ianya sebagai bertentangan dengan Perlembagaan, terbatal dan tidak sah.
“Selain daripada Mahkamah Persekutuan, tidak ada sesiapa walaupun perdana menteri boleh mengisytiharkan yang undang-undang yang diluluskan di Parlimen itu terbatal dan tidak sah,” kata Chong yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching.
Kenyataannya itu berikutan perang mulut antara DAP dengan Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah mengenai kenyataan Abang Johari semalam.
Karim mengkritik parti pembangkang itu kerana membantah usaha Abang Johari untuk mendapatkan kembali hak minyak dan gas di Sarawak.
Bagaimanapun, DAP mendakwa mereka hanyalah sekadar membangkitkan apa yang sepatutnya dikatakan.
“Walaupun telah disyitharkan secara sendiri oleh Abang Jo, kenyataannya masih sama.
“Kelayakan untuk Sarawak mendapat royalti minyak dan gas kekal 5%. Selebihnya dijana oleh penerokaan minyak dan gas yang dikawal oleh kerajaan persekutuan dan Petronas.
“Hak sepenuhnya dan pengawalan industri minyak dan gas di Sarawak kekal di bawah Petronas dan perdana menteri. Semua stesyen minyak akan kekal di bawah Petronas dan tidak akan diambil alih oleh stesyen minyak Petros.
“Inilah kebenarannya,” kata Chong.
“Oleh itu, saya menyeru Karim dan Abang Jo jujur dengan rakyat Sarawak dan tidak menyembunyikan eksploitasi sumber asli kita oleh kerajaan BN… (Janganlah guna) dengan retorik lawak yang PDA dan TSA itu ‘terbatal dan tidak sah’.” – 9 Mac, 2018.
Komen