KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata dua undang-undang persekutuan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Laut Wilayah 2012 yang merampas hak negeri terhadap minyak dan gas adalah sama sekali batal dan tidak sah di Sarawak.
“Mana-mana undang-undang yang ultra-vires dalam Perlembagaan Persekutuan… di bawah Perkara 4 perlembagaan adalah tidak sah,” katanya apabila ditanya mengenai undang-undang itu selain pengumumannya Selasa lalu ketika melancarkan syarikat minyak negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sekaligus menandakan negeri itu mendapat hak penuh untuk kembali meneroka, cari gali, dan membangunkan industri minyak dan gas.
Abang Johari berkata, dua akta itu “tidak relevan” dan membiarkan kepada Putrajaya untuk memansuhkannya.
“Saya cuma mempertahankan hak kami,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan seminar pembangunan jalan raya pesisir pantai.
Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) memberikan hak milik penuh kepada Petronas selain hak ekslusif, kuasa, kebebasan serta keistimewaan bagi meneroka, mencari gali sumber petroleum di luar dan dalam pesisir pantai di negara ini.
Manakala Akta Laut Wilayah 2012 (TSA) pula mengurangkan sempadan negeri dan bidang kuasa wilayah daripada 12 batu kepda hanya tiga batu nautika. Tindakan inilah yang menyebabkan rakyat Sarawak marah dengan kerajaan persekutuan yang mengerah habis-habisan sumber minyak dan gas negeri itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri James Masing berkata, TSA tidak terpakai di Sarawak kerana akta itu tidak pernah disahkan oleh badan perundangan negeri.
“Apa yang penting, undang-undang persekutuan yang akan dilaksanakan di sini, (mereka) perlu disahkan terlebih dahulu oleh dewan undangan negeri. Kami tak pernah mengesahkan (TSA),” katanya yang turut hadir dalam majlis yang sama hari ini.
Pada majlis pelancaran Petros, Selasa lalu, Abang Johari berkata, menjelang Julai, Sarawak akan mendapat semua kuasa berkaitan industri minyak dan gas di negeri itu.
Ini bermaksud semua pihak yang mahu beroperasi dalam industri minyak dan gas di Sarawak, termasuk Petronas, perlu mendapatkan lesen, permit, pajakan dan kelulusan kerajaan negeri.
Abang Johari bagaimanapun memberi jaminan apabila Sarawak menggunakan hak mereka seperti termaktub dalam perlembagaan berkaitan sumber mineralnya, sesetengah keputusan Petronas tidak lagi boleh dilakukan mereka tanpa kelulusan kerajaan negeri.
Katanya, Sarawak kini akan menggunakan hak dan undang-undangnya menyebabkan “semua orang dan syarikat terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak, perlu mendapatkan lesen, permit, pajakan dan kelulusan diperlukan di bawah sama ada Ordinan Perlombongan Sarawak atau Ordinan Pengedaran Gas”.
Tambah Abang Johari lagi, Sarawak telah mengamalkan haknya berkaitan minyak sejak 1920 lagi ketika Rajah terakhir iaitu Charles Vyner Brooke mengisukan “Perintah Konsesi Shell” bagi meneroka kawasan Miri untuk mencari gali minyak oleh Sarawak Oilfield Limited yang pada ketika itu dimiliki oleh Shell.
Cari gali minyak di Sarawak bermula pada 22 Disember, 2910 di Miri.
Pada 1952, kerajaan penjajah Sarawah mengisukan pajakan perlombongan minyak dalam bentuk keperluan buat Sarawak Oilfields Limited sekaligus memberikan “kebebasan, hak dan kesistimewaan untuk meneroka dan cari gali semua petroleum bawah di seluruh Koloni Sarawak termasuk di darat dan di lautan…”
Pada 1958, Majlis Negeri meluluskan Ordinan Perlombongan Minyak bagi “membuat peruntukan yang lebih baik dalam undang-undang yang berkaitan dengan perlombongan minyak di Sarawak dan Continental Shelf.”
Justeru Abang Johari berkata, undang-undang itu tidak pernah dimansuhkan selepas Sarawak bersetuju bergabung membentuk Malaysia, selain beliau turut menekankan yang hak itu tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan. – 8 Mac, 2018.
Komen