2022: Tahun berakhirnya reformasi?


Ruhan Shahrir

Perjalanan reformasi yang panjang, berliku, sukar dan rumit tidak berakhir dengan ternobatnya Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2023.

BEBERAPA hari selepas keputusan PRU15 diumumkan berita mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan dan Umno mula tersebar. 

Perbincangan di warung-warung kopi dan warung sosial media merancak. Ada yang menentang, ada yang menyokong, ada yang pragmatik, ada juga yang dogmatik. 

Pelbagai pandangan diajukan dan dibincangkan khususnya dalam lingkungan sosial yang cakna politik Malaysia. 

Ketika diumumkan bahawa Pakatan Harapan akan menjalin kerjasama dengan Umno, seorang sahabat mengusulkan kepada saya, “Kau tunggu foto Anwar dan Zahid bersalaman keluar di media. 

Masa tu kau dah boleh tulis satu rencana dengan tajuk ‘the end of reformasi’.Aku gerenti foto tu akan keluar punya nanti”, ujar beliau sambil menghirup  chai Pakistan di sebuah warung di pinggir bandar, tempat kami selalu melepak.

Ternyata tidak lama selepas itu telahan sahabat saya itu benar. Terbit sekeping foto di sebuah portal media yang menunjukkan dua tokoh tersebut, masing-masing segak bergaya dengan busana baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin sedang bersalaman. 

Namun rencana ‘the end of reformasi’ yang disarankan kepada saya itu tidak saya tulis.

Saya sememangnya sentimental dengan reformasi. Setelah 24 tahun berlalu rasa sentimental itu kini bercampur-baur dengan nostalgia. 

Bernostalgia tentang reformasi adalah mengingati kembali sesuatu yang sudah hilang. Sesuatu yang takkan dialami lagi. Sesuatu yang terperangkap di dalam ruang dan waktunya yang khusus.

Ia adalah produk zamannya yang khas. Sesuatu yang mustahil untuk berulang kembali tapi dirindukan. Ia dirindukan kerana ia begitu mengesankan jiwa, fikiran dan nurani mereka yang terlibat sehingga ia menjadi ingatan yang tak terpadam. 
Bahkan ada anak-anak muda yang terlibat dengan gerakan reformasi 1998, hidup mereka bertukar arah 180 darjah. 

Seorang sahabat saya, aktif dalam gerakan reformasi sebagai aktivis mahasiswa 1998. Beliau bercinta dengan berlatarkan reformasi. 

Kekasihnya juga aktivis mahasiswa yang aktif di dalam gerakan reformasi. Kemudiannya beliau ditangkap, dimasukkan ke dalam lokap, dipukul dan dibuang universiti kerana terlibat dalam satu perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Dari tangkapan tersebut beliau dan kekasihnya serta sahabat-sahabat aktivis mahasiswa yang lain menyusun gerakan penerangan di beberapa universiti di sekeliling Semenanjung Malaysia menerusi pertemuan-pertemuan “haram”. 

Beliau kemudiannya berkahwin dengan kekasihnya, dikurniakan dengan seorang anak perempuan yang comel dan kemudiannya bercerai. 

Beliau berkahwin buat kali kedua selepas itu dan dikurniakan pula dengan seorang anak lelaki yang juga segak. 

Menyambung semula pengajiannya yang terbengkalai di Universiti Terbuka, beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya dengan segulung ijazah sarjana muda. Semua yang terjadi itu berlatarkan reformasi 1998.

Seorang lagi sahabat saya, juga aktivis mahasiswa 1998 ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan diseksa dengan seksaan yang tak terbayangkan sehingga berbulan-bulan selepas dibebaskan, beliau mengalami trauma yang mengambil masa cukup lama untuk dipulihkan. Bukan hanya sekadar itu, beliau kemudiannya turut dibuang universiti. 

Beliau kemudiannya menyertai beberapa NGO dan juga sebuah parti politik sebelum menamatkan zaman bujangnya dengan mendirikan rumah tangga bersama kekasih lamanya dari universiti yang membuangnya dahulu. 

Anak sulung lelakinya dinamakan dengan nama yang beliau terdengar bergema di gegendang telinganya sewaktu beliau ditahan sendirian di sebuah bilik bawah tanah yang lokasinya tidak diketahui sampai sekarang. 

Pada pilihan raya ke-15 yang baru lepas beliau aktif di pentas-pentas ceramah politik khususnya di kawasan-kawasan perumahan kelas pekerja Melayu.

Tak mungkin untuk saya menulis satu per satu kisah-kisah manusia biasa, sahabat-sahabat saya yang menyertai dan aktif dalam gerakan reformasi. 

Terlalu ramai anak muda pada waktu itu yang tersentuh dan kemudiannya terhisap dengan gerakan reformasi 1998. Ada juga yang telah pun kembali ke rahmatullah (Al-Fatihah buat mereka). 

Ada pula yang sudah tidak aktif. Ada yang masih terus mempunyai iltizam di dalam memperjuangkan idealisme reformasi. 

Ada yang hilang tanpa jejak. Dan seperti mana-mana gerakan sosial di dunia, ada juga yang beralih arah bersama dengan “pasukan lain”. 

Malahan mungkin ada jutaan lagi anak-anak muda generasi 1998 yang terlibat dalam gerakan reformasi, baik sebagai penggerak mahu pun pengikut, yang takkan kita tahu nasib mereka sekarang tapi tetap menyumbang. 

Tanpa mereka, orang-orang biasa yang memberi nyawa kepada sebuah gerakan massa, reformasi takkan hidup dan terus diperjuangkan sehinggalah ke detik Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Cumanya yang menjadi ironi adalah musuh yang dilawan sejak 2 September 1998 adalah Umno. 

Sepanjang 24 tahun Umno menjadi fokus utama penentangan. Setiap kali pilihan raya umum, Presiden Umnolah yang akan menjadi tumpuan kritik, cercaan, hinaan dan perlekehan. 

Sirih pulang ke gagang

Ketika melihat foto Anwar Ibrahim bersalaman dengan Zahid Hamidi pada majlis mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, saya boleh memahami “kerangka besar” atau “big picture” politik yang sedang diusahakan oleh Anwar dan Pakatan Harapan. 

Namun ia tidak dapat menghilangkan senyuman sinis yang muncul di bibir saya. Sirih pada akhirnya pulang ke gagang, begitulah bisikan nakal yang muncul di hati saya.

Biarpun bisikan-bisikan nakal muncul dan kadangkala senyuman sinis terukir di bibir melihat tingkah laku pemain-pemain politik yang “bermain wayang”, saya masih yakin dengan idealisme reformasi seperti yang saya yakini 24 tahun yang lalu. 

Sosok datang dan pergi. Tapi idealisme untuk Malaysia yang lebih baik, bebas korupsi, adil, saksama, terangkum dan manusiawi tetap tidak hilang daripada diri.

Justeru, tahun 2022 yang telah pun melabuhkan tirainya semalam dan takkan kembali lagi bukanlah suatu penanda kepada ‘the end of reformasi’ tapi ‘the beginning of reformasi’. 

Perjalanan reformasi yang panjang, berliku, sukar dan rumit itu tidak berakhir dengan ternobatnya Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. 

Ia tidak tamat dengan Pakatan Harapan menjadi teraju utama “kerajaan perpaduan”. Ia tidak berhenti dengan jabat salam antara Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi. Malahan ia baru sahaja bermula.

Sama ada cita-cita untuk membina Malaysia yang lebih baik, bebas korupsi, adil, saksama dan manusiawi buat seluruh rakyatnya akan dapat dizahirkan secara nyata atau pun tidak, bukanlah bergantung kepada Anwar Ibrahim semata-mata. 

Ia memerlukan kerjasama, iltizam dan kecekalan politik daripada semua yang terlibat khususnya institusi-institusi kuasa dan penguatkuasaan untuk menjayakannya. 

Cabarannya besar. Halangannya juga banyak. Perubahan struktural bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Namun jalannya sudah pun dirembah dengan terangkatnya Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. 

Anak tangga pertama sudah pun dibina. Terdapat ratusan anak tangga lagi yang perlu dibangunkan untuk menuju Malaysia yang lebih cemerlang, bermaruah dan bermartabat buat semua rakyatnya.

2022 bukanlah tahun berakhirnya reformasi tapi ia tahun reformasi diberikan ruang dan peluang untuk memulakan perubahan-perubahan yang dicita-citakannya. 

Manakala tahun 2023 yang baru bermula hari ini adalah medan ujian sebenar kepada penzahiran idealisme reformasi secara nyata dan tuntas.

Selamat Tahun Baru 2023! – 1 Januari, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen