TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menjelaskan Menara KL (MKL) milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata TM melalui anak syarikat milik penuhnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), melaksanakan konsesi itu sejak 1996.
Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM mahu menumpukan usaha dan sumber bagi mengukuhkan perniagaan teras - telekomunikasi dan teknologi.
Oleh itu, selepas pertimbangan sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara KL daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kepada kerajaan.
Berikutan itu pada 2022, proses pemilihan untuk pemegang konsesi baharu diambil oleh kerajaan. TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik bagi mengambil alih saham MKLSB dan konsesi MKL.
MKLSB akan tetap mengendalikan konsesi dan memastikan menara itu terus menarik pengunjung.
Petugas akan bekerja dengan MKLSB di bawah syarikat konsesi baharu selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk melindungi kebajikan mereka semasa peralihan itu.
Kenyataan itu juga menyatakan rujukan sudah dibuat berhubung perubahan dalam pegangan saham MKLSB dalam pengumuman kewangan suku ketiga TM kepada Bursa Malaysia. – Bernama, 29 Disember, 2022.
Komen