Putrajaya akan siasat perjanjian jual Menara KL


Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata beliau akan mendapatkan taklimat komprehensif berkaitan penjualan Menara KL daripada Telekom Malaysia (TM) awal minggu depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2022.

PUTRAJAYA sedang menyiasat secara terperinci perjanjian yang melibatkan penjualan Menara KL, kata Fahmi Fadzil berikutan bantahan daripada orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Digital berkata beliau memandang serius perkara itu dan akan menerima taklimat komprehensif mengenai penjualan menara ikonik tersebut daripada Telekom Malaysia (TM) awal minggu depan.

“Saya memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial serta soalan-soalan yang ditanya media berhubung pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) melalui pegangan saham penuh daripada pihak Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) kepada syarikat Hydroshoppe Sdn. Bhd.

“Saya sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada 14 Disember 2022.

“Saya juga akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada pihak Telekom Malaysia (TM) pada 3 Januari 2023,” kata Fahmi dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang minggu ini, isu Telekom menjual 10 juta sahamnya dalam Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, yang menguruskan menara ikonik Kuala Lumpur itu, tular di media sosial.

Difahamkan TM mahu melepaskan pegangannya ke atas anak syarikat itu, kononnya ingin membuat keuntungan yang baik, kepada sebuah syarikat yang kurang dikenali bernama Hydroshoppe Sdn Bhd.

Akaun Twitter @FreeMsia mendakwa Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd menjana pendapatan RM66 juta sebelum pandemik, di mana RM25 juta diumumkan sebagai keuntungan bersihnya.

Fahmi berkata, kementeriannya memantau rapi isu ini dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya sekiranya pihak berkuasa menjalankan sebarang siasatan berhubung perkara ini.

Awal hari ini, bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa mengelak daripada mengulas perjanjian yang dikatakan itu.

Annuar memaklumkan portal berita MalaysiaKini beliau tidak terlibat dalam keputusan TM untuk menjual anak syarikat yang menguruskan Menara KL.

Beliau berkata perjanjian itu melibatkan syarikat tersenarai awam dan bukannya kerajaan.

“Tiada kena mengena dengan menteri komunikasi,” kata Annuar kepada Malaysiakini.

“Pergi tanya TM… jika syarikat itu mengaut keuntungan RM25 juta, kenapa mereka tidak mahu menyimpannya dan menjualnya,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Ketika ditanya sama ada bekas ahli parlimen Ketereh itu mempunyai kaitan dengan penjualan saham milik TM tersebut.

Bagaimanapun, bekas menteri itu enggan mengulas.

“TM bukan di bawah bidang kuasa menteri komunikasi… ia adalah syarikat tersenarai awam,” kata bekas menteri itu.

Menurut sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd menukar pegangan saham pada 31 Oktober 2022.

Ia menunjukkan 10,000,000 saham yang dimiliki TM bertukar tangan kepada Hydroshoppe Sdn Bhd, sebuah syarikat perdagangan am yang didaftarkan pada 2008 dengan modal berbayar RM1 juta. – 27 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen