DUA lagi badan antarabangsa menggantung khidmat di Afghanistan selepas pemerintah Taliban melarang wanita daripada bekerja, hanya beberapa hari selepas ia menyekat wanita daripada ke universiti, lapor BBC.
International Rescue Committee dan Islamic Relief membuat keputusan itu, menyusuli langkah awal tiga pertubuhan iaitu Care International, the Norwegian Refugee Council dan Save the Children yang tidak dapat meneruskan tugas tanpa kakitangan wanita.
International Rescue Committee, yang menggaji 3,000 wanita di seluruh Afghanistan, berkata tanpa kakitangan wanita yang bertugas di semua peringkat, khidmat mereka kepada yang memerlukan kini lumpuh.
Islamic Relief pula menggantung semua perkhidmatannya yang bukan kritikal, termasuk beberapa projek melibatkan rawatan kesihatan.
“Kami menggesa pemerintah Afghanistan segera membatalkan larangan kerja ke atas kakitangan NGO wanita,” kata badan itu, yang menyifatkan keputusan menggantung khidmat itu satu keputusan sukar.
Jurucakap kementerian ekonomi Afghanistan Abdel Rahman Habib mendakwa kakitangan wanita di badan bantuan antarabangsa melanggar etika pakaian kerana tidak mengenakan hijab.
Pentadbiran Taliban mengancam akan membatalkan lesen operasi mana-mana pertubuhan yang tidak mematuhi larangannya. – 26 Disember, 2022.
Komen