TIGA pergerakan asing, termasuk Save the Children menggantung operasi mereka di Afghanistan selepas pemerintah Taliban mengarahkan semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menghentikan pekerja wanita mereka daripada bekerja.
Pengumuman itu dibuat ketika pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berpuluh NGO yang beroperasi di Afghanistan mengadakan pertemuan di Kabul bagi membincangkan hala tuju selepas sekatan terbaru Taliban memberi tamparan kepada aktiviti kemanusiaan di seluruh negara.
“Kami tidak dapat berjumpa dengan kanak-kanak, wanita dan penduduk yang sangat memerlukan di Afghanistan secara terus tanpa bantuan kakitangan wanita kami,” menurut Save the Children, Majlis Pelarian Norway dan CARE dalam satu kenyataan bersama.
“Sementara kami mendapat penjelasan mengenai pengumuman ini, kami akan menggantung program kami, menuntut kaum lelaki dan wanita dapat sama-sama meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa kami di Afghanistan.”
Arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Taliban semalam mendapat kecaman antarabangsa, dengan beberapa kerajaan dan organisasi memberi amaran tentang kesan terhadap perkhidmatan kemanusiaan di negara yang bergantung kepada bantuan.
Sekatan terbaru itu dibuat kurang seminggu selepas kumpulan pejuang Islam itu dengan tegas melarang wanita hadir ke universiti, hingga menimbulkan kemarahan global dan tercetus protes di beberapa bandar di Afghanistan.
Kementerian Ekonomi mengancam untuk menggantung lesen operasi NGO jika mereka gagal melaksanakan arahan itu.
Langkah itu dibuat susulan kementerian tersebut menerima “aduan serius” mengenai wanita yang bekerja di NGO tidak mematuhi etika berpakaian Islam dengan betul.
“Satu mesyuarat Pasukan Negara Kemanusiaan (HCT) yang dijadualkan lewat hari ini bertujuan untuk berunding dan membincangkan cara menangani isu ini,” kata Pegawai Maklumat Awam Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, Tapiwa Gomo.
HCT terdiri daripada pegawai tertinggi PBB dan wakil berpuluh-puluh NGO Afghanistan dan antarabangsa yang menyelaraskan pengagihan bantuan di seluruh negara.
Menurut beberapa pegawai NGO, mesyuarat itu akan membincangkan sama ada untuk menangguhkan semua kerja bantuan susulan arahan terbaru yang dikeluarkan pemerintah Taliban.
PBB mengecam arahan kementerian itu sambil menambah pertubuhan dunia itu akan mendapatkan penjelasan daripada pemerintah Taliban.
Menurut PBB, arahan mengecualikan wanita “secara sistematik daripada semua aspek kehidupan awam dan politik membawa negara ke belakang, sekali gus menjejaskan sebarang usaha keamanan atau kestabilan dalam negara”.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata larangan itu akan “memusnahkan” rakyat Afghanistan kerana ia akan “mengganggu bantuan penting dan menyelamatkan nyawa rakyat negara itu”. – AFP, 25 Disember, 2022.
Komen