10 maut dalam letupan lori tangki di Johannesburg 


Rakaman kejadian sebuah lori tangki bahan api meletup di Boksburg, Afrika Selatan tular di media sosial.– Gambar Youtube, 25 Disember, 2022.

SEPULUH orang maut dan kira-kira 40 yang lain cedera apabila sebuah lori tangki bahan api meletup di Boksburg, sebuah bandar Afrika Selatan di timur Johannesburg, kata perkhidmatan kecemasan pada Sabtu.

Lori tangki yang mengangkut gas petroleum cecair (LPG) itu terperangkap di bawah jambatan berhampiran hospital dan kawasan perumahan pada pagi Sabtu.

“Kami menerima panggilan pada 0750 memberitahu kami sebuah lori tangki gas tersangkut di bawah jambatan. Anggota bomba dipanggil untuk memadamkan api. Malangnya, lori tangki itu meletup,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan di wilayah itu William Ntladi, kepada AFP.

Salah seorang yang cedera ialah pemandu yang telah dibawa ke hospital, tambahnya.

Beliau berkata jumlah kematian meningkat kepada 10 daripada sembilan yang dilaporkan sebelum ini.

Daripada jumlah mereka yang cedera, kira-kira separuh dalam keadaan serius manakala 15 lagi parah tetapi dalam keadaan stabil.

Enam anggota bomba turut mengalami kecederaan ringan, kata Ntladi.

Video di media sosial menunjukkan bebola api besar di bawah jambatan, yang mana lori tangki itu kelihatan terlalu tinggi untuk dilalui.

Ia membawa 60,000 liter gas LPG, yang digunakan terutamanya dalam memasak dan dapur gas, dan datang dari tenggara negara itu.

Saksi Jean Marie Booysen menggambarkan letupan besar yang berlaku pada awal pagi.

“Hari ini sememangnya hari yang sangat menyedihkan di pinggir bandar kecil kami,” katanya, berdiri berhampiran pasukan forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Saya naik ke tingkat atas untuk minum secawan teh dan saya melihat api yang sangat besar, saya ingatkan sebuah rumah sedang terbakar.”

Menurutnya dia kemudian mendapat tahu tentang kematian “dua budak yang tinggal di seberang jalan, seorang perempuan berusia 16 tahun dan lelaki berusia 25 tahun, yang sering memotong rumput di rumahnya setiap hujung minggu.– AFP, 25 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen