Banjir kilat di Johannesburg, Afrika Selatan ragut 9 nyawa


BANJIR kilat susulan hujan lebat mengorbankan sembilan nyawa penduduk yang mengambil bahagian dalam upacara keagamaan di Johannesburg, Afrika Selatan, demikian menurut pasukan perkhidmatan kecemasan hari ini.

Sekumpulan 33 penganut menyertai upacara gereja di tebing sungai Jukskei ketika banjir melanda, kata Robert Mulaudzi, jurucakap Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan Johannesburg.

“Dua orang dihanyutkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

“Kami meneruskan pencarian pagi ini dan menemui tujuh mayat lain,” tambahnya hari ini.

Pasukan bomba dan penyelamat masih mencari mangsa yang hilang.

Air pasang besar secara tiba-tiba adalah perkara biasa di sebahagian kawasan di Johannesburg ini, di mana ribut berlaku hampir setiap malam semasa musim panas. – AFP, 20 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen