Teladan politik India


Wan Hamidi Hamid

SATU pilihanraya telah diadakan di sebuah negeri di timur laut India bulan lalu. Pengiraan undi dibuat pada Sabtu 3 Mac. Keputusannya mengejutkan.

India adalah negara demokrasi terbesar di dunia atas dasar penduduknya yang berjumlah 1.3 bilion orang. Sistem demokrasinya berasaskan kaedah Westminster seperti mana di Malaysia dan kebanyakan negara bekas jajahan dan naungan British. Ia mengadakan pilihanraya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Demokrasinya, walaupun tidak sempurna dan sering berlaku kekacauan, penipuan dan keganasan, adalah lebih bebas berbanding Malaysia. Dalam Indeks Demokrasi 2017 kajian Economist Intelligence Unit (EIU), Malaysia berada di tangga ke-59 manakala India di tangga ke-42 walaupun pada tahun sebelumnya ia di tangga ke-32.

Demokrasi di India membenarkan Parti Komunis – merangkumi pelbagai mazhab, pecahan dan serpihan kiri – bertanding dalam pilihanraya. Komunis demokratik berbeza dengan komunis gerila bersenjata. Ia memilih jalan Parlimen dan dianggap salah satu ideologi sah untuk pilihan pengundi.

Daripada 29 kerajaan negeri di India yang mengadakan pilihanraya sejak 2013, dua negeri – Kerala dan Tripura – dimenangi Komunis. Manakala 19 negeri dikuasai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang juga merupakan parti Kerajaan Pusat India.

Tripura

Jadi apa yang mengejutkan dalam pilihanraya negeri Tripura?

Tripura adalah sebuah negeri yang ketiga terkecil di India yang bersempadan dengan Bangladesh. Sejak 25 tahun lalu, kerajaan negeri dikuasai wadah komunis terbesar di India, iaitu Parti Komunis India (Marxist) atau dikenali dengan gelaran tempatan sebagai CPM. Malah sebelum itu CPM juga menjadi kerajaan negeri pada penggal 1978-88.

Dalam pilihanraya terbaru ini, BJP yang gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihanraya negeri Tripura 2013 telah menang 43 daripada 59 kerusi (satu lagi kerusi ditangguhkan pemilihan kerana kematian calon). CPM pula hanya tinggal 16 kerusi berbanding 49 yang dimenanginya pada 2013.

Komunis dan BJP

Mengapa CPM yang berkuasa sejak 1993 boleh kalah teruk?

Kebangkitan BJP adalah hakikat penting politik masa kini di India. Ia merupakan parti sayap kanan nasionalis Hindu yang dianggap oleh golongan liberal dan progresif sebagai fundamentalis dan pelampau agama. Ia mendapat sokongan majoriti rakyat India, terutama penganut Hindu yang merupakan 80% daripada jumlah penduduk negara itu.

Mengapa ia mendapat sokongan pengundi? Kemenangan besar BJP dalam pilihanraya umum India pada Mei 2014 dikaitkan dengan politik populis yang menawarkan idea India sebagai sebuah Negara Hindu. Ia juga bijak menawarkan ekonomi pasaran dan peluang perniagaan kecil.

Parti pemerintah Kongres tewas teruk dalam PRU India itu kerana pengundi dikatakan bosan dengan sikap angkuh, birokrasi dan kelembapan ekonomi.

Kempen BJP yang menyasarkan tuduhan rasuah dan korupsi terhadap kerajaan Kongres mudah dihadam oleh rakyat berikutan krisis ekonomi berpanjangan yang meningkatkan kadar inflasi dan pengangguran serta kenaikan harga barang.

Kelembapan pembangunan serta karenah birokrasi yang melanda Parti Kongres turut menjangkiti pentadbiran CPM di Tripura. Ditambah dengan popularity pemimpin BJP Narenda Modi selaku Perdana Menteri India serta pertubuhan-pertubuhan Hindu politikal, sukar untuk CPM atau mana-mana parti secara bersendirian menghadapi gelombang BJP.

Komunis dan Kongres

Ada pemerhati politik di India berpendapat kekalahan CPM berpunca daripada sikap kepimpinan parti itu di Tripura yang enggan bergabung dengan mana-mana parti yang dianggap berbeza ideologi walaupun mereka sedar cabaran BJP adalah serius.

Parti Kongres yang sedar ia semakin lemah mencadangkan gabungan bersama dengan CPM tetapi ditolak oleh parti komunis tersebut. Alasan Kongres adalah agar parti-parti demokratik sekular, sama ada kiri atau tengah, bergabung tenaga untuk melawan fundamentalisme BJP.

Malah, di peringkat CPM Pusat, beberapa pemimpinnya mendesak parti negeri agar bekerjasama dengan Kongres tetapi tidak dipedulikan. Mereka dikatakan lebih yakin dengan propaganda ciptaan sendiri.

Yang dimaksudkan dengan propaganda sendiri adalah imej CPM yang dipaparkan oleh kebanyakan media sebagai bersih dan tidak rasuah. Namun, di sebalik imej itu, golongan nasionalis Hindu melihat komunis sebagai anti-agama, golongan konservatif melihat komunis sebagai pembawa ideologi asing, dan golongan peniaga melihat ekonomi Tripura gagal berkembang.

Dengan itu, mudah bagi BJP – melalui teladan Kerajaan Pusat BJP yang kini mengembangkan ekonomi melalui sistem pasaran – untuk memujuk pengundi Tripura memilih “pembangunan”. Ia sama seperti taktik BJP sewaktu menghadapi PRU India 2014.

Namun ada pula anggapan bahawa kemenangan BJP di Tripura tidak perlu digembar-gemburkan kerana ia sebuah negeri kecil dengan pengundi sekitar 2.5 juta pengundi sahaja, lebih kecil daripada beberapa kawasan Parlimen di India.

Terpulanglah kepada pengundi dan parti politik di India untuk menilai sendiri.

Gabungan dan tawaran

Bagi kita di Malaysia, yang perlu menjadi teladan adalah betapa perlunya satu gabungan yang kukuh serta berpegang pada janji. Sejarah politik Malaysia menunjukkan bahawa setiap kali mana-mana parti bersendirian, ia akan tewas teruk.

Gabungan yang berjaya di Malaysia adalah Barisan Nasional (sebelum itu pada 1955 hingga 1969 ia dikenali sebagai Perikatan). Ia kekal berkuasa kerana ia bergerak sebagai satu pakatan dengan satu logo. Ini merupakan lambing perpaduan, kerjasama dan satu hati.

Tentulah ini tidak bermakna BN sentiasa menang kerana ia pakatan yang baik.

Tidak. Antara faktor kemenangannya ialah ia menggunakan, mempergunakan serta menyalahgunakan kuasa dan jentera kerajaan untuk memenangkan parti.

Namun, hakikat ini tidak boleh menyangkal kenyataan bahawa gabungan parti politik amat penting di kalangan pembangkang untuk melawan BN. Walaupun ideologi penting, ia merupakan asas perjuangan politik. Ideologi bukan manifesto, tawaran politik atau janji pilihanraya.

Tiada guna melaungkan diri kita bersih dan anti-rasuah jika tiada tawaran yang jelas kepada rakyat untuk mereka memajukan diri dan keluarga, keluar dari lingkaran tekanan ekonomi dan mampu menampung kos sara hidup.

Pakatan pembangkang tidak perlu terlalu populis. Ia juga tidak perlu terlalu takut untuk mengemukakan idea-idea segar. Yang penting, ia perlu mengembalikan maruah dan harga diri rakyat yang selama ini diinjak, diketepi dan dipinggirkan oleh mereka di tampuk kuasa. – 9 Mac, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen