Neelofa, pencetus industri fesyen hijab Malaysia 


Nabihah Hamid

Di Malaysia, antara jenama terkenal dalam fesyen hijab adalah Neelofa yang semakin meluaskan empayarnya dengan Naelofar Hijab. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

PERKEMBANGAN fesyen hijab yang meluas beberapa tahun kebelakangan ini melahirkan banyak usahawan dan mewujudkan ruang industri muslimah yang besar dalam negara.

Bagi pemerhati industri, kerancakan fesyen memberi kesan langsung kepada ekonomi selepas kelahiran banyak jenama tudung, butik fesyen dan perniagaan dalam talian. 

Editor Majalah Fesyen, Hijabista, Siti Suria Hassan berkata kesannya memberi perubahan positif yang membuatkan usahawan wanita lebih bijak untuk mengikuti trend terkini selain menjadi pencetus industri. 

“Para usahawan tudung bangkit dengan idea-idea terkini dan pelbagai jenama tumbuh bagaikan cendawan. Majalah Hijabista juga membuka ruang pada usahawan wanita muda yang kini menjadi satu jenama yang gah di Malaysia.

“Mereka mempelopori industri ini bukan setakat fesyen hijab malahan fesyen pakaian muslimah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Menurut kaji selidik dijalankan J. Walter Thompson (JWT), wanita muda beragama Islam di Asia Tenggara kini menjadi tumpuan pemasar kerana dianggap kumpulan berpengaruh dalam fesyen, pelancongan, dan keusahawanan. Pasaran pengguna Islam itu berjumlah AS$1.9 trilion (RM7.4 trilion).

Neelofa jadi wonder hijabi, pencetus trend

Di Malaysia, antara jenama terkenal dalam fesyen hijab adalah Neelofa yang semakin meluaskan empayarnya dengan Naelofar Hijab (NH). 

Hampir empat tahun bertapak dalam perniagaan tudung, usahawan dan pengacara terkenal Neelofa dilihat sebagai ikon anak muda yang menjadi pencetus industri fesyen muslimah dalam negara.  

Siti Suria melihat empayar yang dibina anak jati Kelantan ini konsisten mengukuhkan jenamanya dalam dan luar negara dan memberi banyak peluang perniagaan serta pekerjaan.  

Baginya, pelakon drama ‘Suri Hati Mr Pilot’ itu dilihat sebagai wanita berwawasan tinggi yang menjadi ikutan atau pencetus trend kepada wanita.

“Jikalau hijabis mengikut perkembangan usahawan muda ini, beliau bermula dari pemenang Dewi Remaja anjuran Kumpulan Media Karangkraf merupakan seorang yang mempunyai visi dan misi yang tersendiri. 

“Sehingga kini beliau menjadikan fesyen hijab yang dikenali ramai di atas jenama Naelofar Hijab. Beliau mengeluarkan pelbagai fesyen hijab dari golongan peringkat turut menyumbang kepada pencetus industri, katanya.

Beliau juga menganggap Neelofa sebagai seorang “wonder hijabi” yang mampu mencipta kejayaan dan memberi inspirasi pada golongan muda katanya.

Pengerusi Eksekutif Naelofar Hijab Prima International Sdn Bhd, Noor Kartini Mohammad Noor, jenama tersebut berkembang pesat dan lebih 100 rekaan dihasilkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

Empayar Neelofa beri peluang pekerjaan

Diasaskan pada 2014, Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 29, kini mempunyai hampir 700 pengedar sah dalam negara dan mempunyai tiga butik utama yang mempunyai lebih 80 pekerja termasuk lima pereka fesyen. 

Pengedar Naelofar Hijab juga membina pengkalan di luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Tambah Siti Suria, perkembangan fesyen beberapa tahun dahulu bukan sahaja merancakkan kehadiran usahawan yang kreatif mempelbagaikan produk tudung mereka tetapi menjadi punca lahirnya majalah Hijabista yang diwujudkan 6 tahun dahulu. 

Majalah bercetak tersebut menjadi medan kebangkitan para usahawan tudung dengan idea terkini dan kemunculan pelbagai jenama.

“Majalah Hijabista juga membuka ruang pada usahawan wanita muda yang kini menjadi satu jenama gah di Malaysia dan mereka melopori industri ini bukan setakat fesyen hijab malahan fesyen pakaian muslimah,” katanya lagi. 

Sependapat dengannya, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman berharap lebih ramai usahawan akan mencontohi Neelofa dalam perniagaan dan menyumbang kepada ekonomi negara. 

“Neelofa, ikon usahawan Melayu menjadi insipirasi anak muda dan wanita. Kita sebagai NGO Melayu berbangga malah sedang usaha menjemput beliau menyertai persatuan kami. 

“Kita sedia maklum Neelofa mendapat tempat di kalangan pelanggan khususnya Melayu. Itu perkembangan yang baik dan memberi banyak pendapatan kepada pengedar. Ia perlu dicontohi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Keluaran terbaru ‘Be Lofa Turban’ baru-baru tetap laris meskipun dilanda kontroversi selepas melancarkan koleksi terbarunya sebuah kelab malam. 

Keluaran terbaru 'Be Lofa Turban' baru-baru tetap laris meskipun dilanda kontroversi selepas melancarkan koleksi terbarunya sebuah kelab malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Mac, 2018.

Jualan cecah RM50 juta

Tudung baru yang dilancarkan tersebut bukan sahaja habis dijual melalui online, malah kira-kira 1200 turban telah dijual kepada 300 pengedar seluruh negara beberapa hari sebelum pelancaran. 

Menurut pengerusi Eksekutif NH Prima International Sdn Bhd, Noor Kartini Mohammad Noor, jenama tersebut berkembang pesat dan lebih 100 rekaan dihasilkan. 

“Kami berjanji akan berikan yang terbaik untuk pelanggan kami. Alhamdulillah mereka sentiasa sokong walaupun ada dugaan-dugaan menimpa. Rekaan kami hasil dari golongan muda sehingga berusia,” kata Kartini yang juga ibu kepada Neelofa.

Pada Disember 2015, jenama Neelofa dilaporkan Utusan Online mendapat jualan mencecah RM50juta, dua kali ganda sasaran syarikatnya. 

Pelakon filem ‘Pilot Cafe’ itu juga terpilih antara 10 Duta siri kedua Transformasi Nasional 2050 (TN50) pada Mei tahun lalu, lapor Sinar Harian

7 bulan kemudian, Neelofa dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd.

Kalangan pesaing Neelofa pula menganggap persaingan yang sihat dalam pasaran tudung dan fesyen muslimah ini akan merancakkan lagi industri tersebut.

Pengasas jenama tudung terkenal Siti Murni Abdul Aziz, 32, berkata ia merupakan satu perkembangan baik kerana lebih ramai usahawan bumiputera dihasil.

“Untuk Neelofa, kita sokong sebagai usahawan bumiputera. Dan semua ada strategi sendiri untuk pasarkan produk masing-masing,” kata 

Pemilik jenama Tudung Siti Murni (TSM) yang mempunyai hak paten ke atas rekaan tudung tanpa pin itu berkata, pengguna wanita dalam negara tidak perlu lagi mengharapkan produk dari luar negara. 

Katanya, para pengusaha dalam industri ini menumpukan strategi tersendiri untuk memasarkan produk kepada pembeli sasaran iaitu golongan wanita. 

“Wanita di Malaysia memang suka membeli. Kalau sesebuah produk itu cantik dan menepati citarasa mereka pasti beli. 

“Kita kena fikir matlamat apa produk kita dan seperti saya ramai wanita yang alah kepada besi sesuai dengan jenama saya,” katanya. – 8 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen